SIDOARJO – Seramai 15 penduduk di Kampung Jati Mukim Waru, Sidoarjo disahkan dijangkiti pandemik koronavirus (Covid-19) selepas membuka keranda mayat pesakit Covid-19 di sini.
Menurut laporan Detik News, Gabenor Jawa Timur, Khofifah Indar Parawansa melahirkan rasa kecewa terhadap kejadian yang berlaku itu.
“Kejadian ini mengakibatkan beberapa penduduk di sebuah mukim di Waru mati akibat Covid-19.
“Ini kerana keluarganya membuka keranda, bahkan memandikan mayat sehingga ada yang dijangkiti,” kata Khofifah semalam.
Khofifah berharap kejadian seperti itu tidak berulang kerana proses pengebumian mayat pesakit positif Covid-19 sangat ketat.
“Mudah-mudahan tidak akan ada upacara seperti itu lagi,” katanya.
Sementara itu Pemangku Bupati Sidoarjo, Nur Ahmad Syaifuddin mengatakan dia agak lewat menerima maklumat tersebut.
Nur Ahmad mengakui sememangnya berlaku kecuaian.
“Orang yang sepatutnya mengebumikan pesakit positif Covid-19 adalah pekerja kesihatan yang memakai pakaian khas.
“Keranda tidak boleh dibuka dan pengebumian tidak boleh lebih dari empat jam,” jelasnya.
Ujarnya, selepas kejadian itu, pasukan petugas perubatan telah melakukan ujian pantas dan ujian swab kepada penduduk di sini.
“Akibatnya,15 orang disahkan positif Covid-19 dan mukim ini menjalani kuarantin yang sangat ketat,” katanya. – Sinar Harian