23 Pekerja Kelab Golf Positif Covid-19

Seramai 23 pekerja kelab golf Tropicana Golf & Country Resort (TGCR) disahkan positif COVID-19, termasuk 12 orang yang disahkan positif hari ini.nangtime.com - 23 Pekerja Kelab Golf Positif Covid-19

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata 12 pekerja yang disahkan positif hari ini akan dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk diberikan rawatan.

“Pada hari ini dan esok, petugas Kementerian Kesihatan akan membuat kemas kini senarai penghuni asrama yang akan disaring terlebih dulu, kerana ada di antara mereka selesai menjalani saringan sebelum ini.

“Seramai 597 pekerja kelab golf berkenaan mendiami tiga blok asrama membabitkan 358 pekerja asing dan selebihnya 239 warga tempatan,” katanya pada sidang media di lokasi PKDP berkenaan, hari ini.

Semalam, 11 pekerja kelab golf itu disahkan positif COVID-19 memaksa asrama pekerja di Jalan Tropicana Selatan, di sini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula tengah malam tadi.

Seramai 11 pekerja terdiri daripada 10 warga tempatan dan seorang warga asing yang sebelum ini sudah disahkan positif COVID-19 kini ditempatkan di HSB untuk menerima rawatan.

Seramai 23 pekerja kelab golf Tropicana Golf & Country Resort (TGCR) disahkan positif COVID-19, termasuk 12 orang yang disahkan positif hari ini. – NSTP/Genesv Gulitah

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan asrama pekerja TGCR dikenakan PKPD selama 14 hari bermula hari ini.

Perintah itu dilaksana selepas Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bersidang pada hari itu menerima nasihat Kementerian Kesihatan susulan kes positif COVID-19 membabitkan pekerja di kelab golf itu.

Nik Ezanee berkata, proses saringan ke atas semua penghuni asrama berkenaan akan dijalankan Kementerian Kesihatan pada Rabu ini.

Sementara itu katanya, polis membuka dua kertas siasatan selepas kelab golf berkenaan didapati ingkar arahan Kementerian Kesihatan untuk menutup operasinya, semalam.

“Kementerian Kesihatan mengeluarkan surat arahan tutup operasi kepada pengurusan kelab golf kelmarin, namun pemeriksaan semalam mendapati operasi berjalan seperti biasa.

“Susulan itu, Kementerian Kesihatan membuat laporan polis di Balai Polis Damansara, bagi membolehkan polis menjalankan siasatan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan perbuatan yang menyebabkan merebaknya penyakit membahayakan nyawa.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Nik Ezanee berkata, seramai 20 anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditugaskan mengawal lokasi PKPD dan dibantu kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Angkatan Perkhidmatan Awam (APM). – BH Online

Facebook Comments Box