Pelakon, Meor Mohd berdepan saat cemas apabila anak perempuannya, Puteri NurZahraa Medina, 5, dipatuk ular ketika sedang bermain di belakang rumah di Jasin, Melaka, tengah hari semalam.
Meor atau nama sebenarnya, Meor Mohd Afif Meor Mohd Affand, 30, berkata, dia dan isteri berada dalam rumah dan hanya menyedari perkara itu selepas mendengar bunyi tangisan anaknya.
“Ketika kejadian saya dan isteri berada di dapur mengemas selepas makan tengah hari. Puteri dan adik-adiknya pula bermain di belakang rumah. Kawasan itu terang benderang dan tidak dipenuhi semak samun. Namun, saya mendengar anak saya menangis.
“Apabila ditanya, dia memberitahu yang kakinya dipatuk ular. Apabila saya periksa, terdapat kesan gigitan pada bahagian bawah lutut kaki kanan. Tanpa berlengah, saya segera membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan,
“Anak kini dirawat di zon kecemasan. Alhamdulillah, keadaannya kini stabil,” katanya
Pelakon yang mula dikenali menerusi drama rantaian Hati Yang Tersakiti itu berkata, dia perlu memaklumkan kepada pihak hospital jenis ular bagi memastikan anaknya menerima rawatan dan ubat yang sesuai.
“Saya diminta doktor untuk menyatakan spesis ular supaya boleh memberikan antidot yang sesuai. Saya terus pulang ke rumah dan mencari ular belakang rumah.
Bila terjumpa, saya tiada pilihan selain terpaksa membunuh dan membawa ular ke hospital supaya dapat dikenal pasti jenisnya.
“Saya dimaklumkan, ular itu jenis Paradise Tree Snake atau Ular Sawa Burung dan ia tidaklah berbisa. Cuma, rawatan perlu diberikan segera bagi mengelakkan dari berlakunya jangkitan kuman pada bahagian yang terkena gigitan,” ujarnya yang turut berkongsi insiden menerusi entri Instagram.
Menerusi perkongsiannya itu, pelakon itu turut mengharapkan peminat mendoakan keselamatan anaknya itu.
Di ruangan komen, ramai rakan selebriti turut meluahkan rasa simpati dan mengharapkan kanak-kanak malang itu segera sembuh. Antaranya, Ummi Nazeera, Nad Zainal, Riz Amin, Ezzaty Abdullah, Dian P Ramlee termasuk pengarah terkenal, Rashid Sibir.
Sumber: BH