Baru Lepas Bersalin, Wanita Berjalan Kaki Sejauh 160km Bersama Bayinya Yang Baru Lahir. Seorang wanita hamil yang berjalan kaki di India terpaksa menghentikan perjalanannya bagi melahirkan anaknya sebelum meneruskan semula perjalanan sejauh 160 kilometer bersama anaknya yang baru lahir itu, lapor CNN.
Wanita yang tidak diketahui identitinya itu telah berjalan bersama suami dan empat lagi anaknya yang lain dari bandar Nashik di Maharashtra ke bandar Satna di negeri sebelah Madhya Pradesh.
Wanita itu dikatakan berhenti di suatu tempat ketika dalam perjalanannya dan melahirkan bayi perempuan. Beberapa hari kemudian, perjalanannya dihentikan oleh seorang pegawai di pusat pemeriksaan di Madhya Pradesh, Kavita Kanesh.
“Dia hanya berehat sekitar satu setengah hingga dua jam sahaja setelah bersalin. Keluarga itu tidak mempunyai wang, tiada pengangkutan dan tiada sesiapa yang menumpangkan mereka,” kata Kanesh kepada CNN.
Tambah Kanesh, bayi perempuan tersebut dilahirkan empat hari sebelum sampai ke pusat pemeriksaan.
Memetik laporan CNN, wanita dan ahli keluarganya meninggalkan Nashik kerana mereka tidak mempunyai tempat tinggal dan perintah berkurung yang dijalankan di negara itu juga menyebabkan mereka tidak mempunyai wang.
Wanita itu telah dibawa ke kemudahan kuarantin dan menerima rawatan perubatan.
Sumber: CNN