Polis Indonesia pada Isnin lalu menahan seorang YouTuber yang dikenali sebagai Edo Putra dan seorang rakannya, susulan video prank menyerahkan daging korban yang sebenarnya sampah kepada orang ramai.
“Kedua-dua suspek telah ditahan,” kata Ketua Komisioner Polis Palembang Anom Setyadji.
Memetik laporan Astro Awani, mereka didakwa melanggar Artikel 14 Kanun Jenayah Membuat Berita Palsu dan Masalah dalam Komuniti. Kandungan video itu juga didakwa melanggar etika kesopanan.
Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun.
Sebelum ini, Edo dan rakannya yang identitinya tidak didedahkan, memuat naik video berkenaan di YouTube pada hari Jumaat.
Menerusi rakaman itu, suspek bertemu dua orang wanita di sebuah kampung dan memaklumkan mahu mengagihkan 5 kilogram daging korban.
Mangsa terlebih dahulu diberitahu agar tidak membuka plastik hitam yang dikatakan mengandungi daging itu sebelum mereka meninggalkan kawasan tersebut.
Daging yang dimaksudkan sebenarnya hanya sampah sarap yang dikutip suspek.
Ketika berita ini ditulis, video tersebut belum diturunkan dari YouTube.
Namun jumlah dislike yang diterima jauh melebihi jumlah like, iaitu 190,000 dislikes berbanding hanya 6,000 likes.
VIDEO:
Sumber: Astro Awani