Bak kata orang-orang dulu, “Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang” yang mendidik masyarakat agar melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan.
Peribahasa itu sesuai digambarkan dengan enam pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dinaikkan pangkat atas kejayaan mereka mengesan bot pendatang tanpa izin (PATI) Rohingya di perairan Langkawi pada 16 April lalu.
Juruterbang pesawat C-130H, Mejar Faizul Hussien Ismail dinaikkan ke pangkat pemangku Leftenan Kolonel dan memegang jawatan sebagai Pegawai Memerintah No 20 Skuadron (Skn). Lima lagi pegawai turut mendapat pangkat yang sama.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Panglima Tentera Udara, Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan di Markas Tentera Udara pada 20 April lalu.
Terdahulu, TUDM berjaya mengesan bot berkenaan yang membawa 200 warga Rohingya pada kedudukan 60 batu nautika barat Pulau Langkawi sebelum menghubungi kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk ke lokasi pengesanan.
TUDM PATAHKAN CUBAAN PATI MEMASUKI PERAIRAN NEGARA
Tindakan pantas pesawat C-130H milik TUDM dari No 20 Skn yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang telah mematahkan cubaan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari memasuki perairan negara.
Pesawat yang diterbangkan oleh Mej Faizul Hussein TUDM itu sedang melaksanakan tinjauan maritim udara di perairan Langkawi dan berjaya mengesan kehadiran sebuah bot PATI Rohingya dari memasuki perairan negara pada jam 10.26 pagi, hari ini.
Bot tersebut yang sarat dengan kira-kira 200 orang PATI Rohingya yang terdiri dari lelaki, wanita dan kanak-kanak dikesan di kedudukan 70 batu nautika (129.6 km) dari barat Pulau Langkawi.
TUDM seterusnya menghubungi kapal TLDM iaitu KD LEKIU dan KD LEKIR yang terus digerakkan ke lokasi pengesanan. KD LEKIU dan KD LEKIR kemudiannya telah berjaya memintas bot berkenaan dengan bantuan helikopter Super Lynx TLDM dan mengekang pergerakan masuk bot tersebut.
Namun, atas dasar kemanusiaan, anak kapal KD LEKIU telah memberikan bantuan sewajarnya dengan mengagihkan bekalan makanan kepada kumpulan PATI tersebut sebelum mengiringi bot tersebut keluar dari memasuki perairan negara.
Tahniah dan syabas kepada juruterbang dan anak kapal C130H yang berjaya melaksanakan tugas tinjauan maritim udara dan bertindak pantas mengekang pencerobohan oleh kumpulan PATI.
Ini adalah satu usaha yang bersepadu di antara TUDM, TLDM dan APMM khususnya dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan maritim negara. Operasi pengawasan maritim udara ini akan terus dipergiatkan bagi mengelakkan sebarang pencerobohan serta menghalang masuk PATI ke negara ini.
Menerusi ruangan komen, rata-rata rakyat Malaysia mengucapkan tahniah dan berterima kasih di atas ketegasan dalam menjalankan tugas dan berjaya menghalang mereka masuk. Diharapkan agar terus menghalang mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab yang menceroboh perairan negara kita.
Tahniah sebab tolak mereka
Terima kasih kerana menjaga perairan negara kita
Kami tak kejam, kami cuma sayang negara kami.
Sumber: Borak Daily via Tentera Udara Diraja Malaysia