Iskandar Puteri: Aktiviti berbasikal menjadi mimpi ngeri buat seorang kanak-kanak berusia tiga tahun di Kampung Pulai Mutiara, Gelang Patah di sini, apabila kaki kanannya dipatuk ular yang melingkar di rantai basikal.
Ibu kanak-kanak itu, Aida Dalila Damia Zulkipli, 31, berkata, kejadian berlaku kira-kira 8.30 pagi semalam ketika Nur Safia Sumayyah Muhammad Firdaus, 3, bermain sendirian di pekarangan rumah.
Menurutnya, dia tidak mengetahui anaknya dipatuk ular sehinggalah melihat kaki anak kedua itu bengkak dan menelefon suami untuk pulang serta membawa Nur Safia ke hospital.
“Sebelum itu Nur Safia minta nak main basikal dan tak lama kemudian masuk ke dalam rumah serta cakap dia terjatuh, tetapi dia main macam biasa dengan kakaknya di dalam rumah.
“Cuma selepas itu, dia mengadu kaki sakit dan minta disapukan minyak. Saya pula tidak syak apa-apa dan menyuruhnya mandi dahulu. Selesai mandi, dia masih bermain dengan kakaknya sebelum datang kepada saya untuk menyapu ubat.
“Ketika itulah saya melihat kakinya sudah bengkak tetapi tidak fikir lain, sebaliknya bimbang dia terseliuh atau patah. Saya menelefon suami yang bekerja supaya pulang dan kami ke hospital,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Aida Dalila berkata, semasa menyapukan minyak pada kaki anaknya, dia melihat ada kesan gigitan dan bertanya berulang kali sama ada Nur Safia benar-benar jatuh atau sebaliknya.
Katanya, dia kemudian terkejut apabila terlihat kepala ular di bahagian rantai basikal anaknya yang diletakkan di hadapan pintu rumah.
Menurutnya, suaminya yang pulang segera memukul ular itu dengan dengan kayu dan mereka membawa Nur Safia ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).
“Alhamdulillah Nur Safia dalam keadaan baik dan pemantauan 24 jam dilakukan doktor mendapati darahnya baik (tiada bisa) dan gigitan ular tidak mengena abdomen.
“Lebam yang sehingga lutut itu juga sudah berkurangan, cuma kakinya masih bengkak. Dia masih dalam pemantauan,” katanya yang memberitahu rumah sewa didiami empat bulan itu berdekatan kawasan paya.
Dia juga memberitahu pakar ular yang hadir memaklumkan ular menggigit Nur Safia berkemungkinan spesis ular kapak bakau. – Harian Metro