IPOH, 18 Julai: Seorang bayi lelaki yang masih bernyawa dan bertali pusat dipercayai baru dilahirkan ditemukan berIumuran darah di bumbung sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Seri Dermawan, Bercham di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz, berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan bayi itu pada jam 12.35 tengah hari daripada orang awam.
Beliau berkata bayi itu telah dicampak oleh seorang remaja perempuan berumur 16 tahun dari tingkap biliknya yang terletak di tingkat dua dengan ketinggian kira-kira sembilan meter.
“Seorang saksi yang juga jiran suspek mendengar bunyi kuat yang terjatuh di bahagian bumbung rumahnya dan kemudian menemukan bayi berkenaan sebelum bertindak menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.
Menurutnya, pemeriksaan di bilik suspek yang masih belum ke sekolah kerana baru sebulan berpindah ke rumah berkenaan dari Batu Caves, Selangor mendapati terdapat kesan tompokan darah pada gerigi tingkap serta cadar biliknya.
A. Asmadi berkata bayi itu berada dalam keadaan kritikal dan mengalami kecederaaan pada bahagian kepala dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal, Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.
“Suspek telah dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan lanjut…keterangan lanjut masih belum diterima kerana remaja itu dalam keadaan lemah akibat mengalami pendarahan selepas melahirkan bayi berkenaan,” katanya.
Katanya, soal siasat ke atas ibu dan dua adik suspek mendapati mereka tidak mengetahui tentang kehamilan remaja itu, malah semasa kejadian dia tidak menunjukkan sebarang petanda mahu melahirkan anak sebaliknya hanya memberitahu baru sahaja datang haid.
Beliau berkata saksi-saksi kes berkenaan akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan lanjut.
BERNAMA