Doktor di sebuah hospital di bandar terbesar di Brazil di sini, bingung apabila seorang remaja perempuan menangis air mata darah untuk tempoh lebih seminggu. Kejadian aneh dialami Doris, 15, masih tidak dapat difahami doktor yang merawatnya.
Oddity Central melaporkan remaja itu mula mengadu sakit 12 September lalu sebelum ibunya, Juliana Teixeira de Miranda menghantar anak gadisnya itu ke hospital berkenaan.
“Dia (Doris) mengadu sakit di bahagian perutnya dan doktor mendiagnosis ia sebagai batu karang. Doktor memberikannya ubat sebelum dia dibenarkan pulang.
“Namun keesokannya, Doris terpaksa dikejarkan ke bilik kecemasan hospital sebab matanya mengeluarkan darah.
“Doktor memeriksa Doris tetapi tidak dapat menentukan punca air matanya berdarah. Oleh kerana dia tidak mengadu sakit atau tidak selesa, dia dibenarkan pulang,” kata Juliana.
Wanita itu berkata, anak gadisnya itu sudah menjalani banyak ujian, namun doktor masih tidak menemui punca kejadian.
Menurutnya, beberapa jam selepas kali kedua pulang dari hospital, darah mula mengalir dari kedua-dua belah mata Doris dan ia menyebabkan keluarganya bimbang.
“Sekali lagi, Doris dibawa ke hospital. Tetapi masih tiada doktor yang dapat memberitahu puncanya.
“Dia menjalani ujian tomografi dan beberapa ujian lain namun doktor tidak menemui apa-apa yang dapat merungkaikan kejadian itu.
“Oleh kerana masih tidak ada jawapan, doktor memintanya untuk melakukan beberapa ujian lagi minggu ini,” katanya.
Juliana menegaskan keluarga akan melakukan apa saja yang diminta doktor kerana mahu mengetahui punca keadaan berkenaan. Doris mengatakan bahawa air matanya berdarah sejak 13 September dan gejala aneh itu kerap berlaku pada waktu siang.
Sementara itu, pakar mata Rafael Antonio Barbosa Delsin berkata, kehadiran darah dalam air mata disebut hemolacria.
“Ia suatu keadaan yang sudah dijelaskan dalam jurnal perubatan. Rawatan bergantung pada penyebabnya. Tetapi kadang-kadang ia hilang secara tiba-tiba, tanpa rawatan dan tanpa diagnosis yang pasti,” katanya.
Bagi Dr Leandro Fonseca pula, kes itu bukanlah rumit untuk dirawat.
“Bergantung penyebabnya, ia boleh dirawat dengan antibiotik dan ubat hormon. Keadaan ini jarang menyebabkan masalah kesihatan lain bagi pesakit,” katanya.
Sumber: Harian Metro