Fasa Kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Adalah Tempoh Kritikal Dan Mustahak

PUTRAJAYA: Tempoh dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa kedua hari ini, adalah tempoh kritikal dan mustahak bagi menentukan Malaysia berjaya atau tidak memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.Fasa Kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Adalah Tempoh Kritikal Dan Mustahak

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kesan kejayaan itu bagaimanapun amat berkait rapat dengan tingkah laku dan kerjasama orang ramai dalam mematuhi arahan kerajaan sepanjang PKP dikuatkuasakan.

“PKP fasa kedua akan mula dikuat kuasa esok (hari ini) hingga 14 April dan beberapa kawasan juga sudah diisytiharkan sebagai lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Namun, tempoh dua minggu yang seterusnya ini adalah mustahak di mana akan menentukan sama ada tindakan yang diambil kerajaan setakat ini memberi impak yang diharapkan,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, semalam.

Sehubungan itu, Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai agar duduk di rumah serta mengamalkan etika kebersihan diri seperti kerap membasuh tangan dan jarakkan diri antara satu sama lain.

“Sekiranya bergejala, gunakan penutup hidung dan mulut. Makan secara sihat dengan menyediakan menu sihat dan seimbang. Jalani gaya hidup yang aktif dengan melakukan aktiviti fizikal atau senaman ringan.

“Bagi mereka yang merokok, gunakan peluang ini untuk berhenti merokok,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan statistik selepas dua minggu pelaksanaan fasa pertama PKP, trend jumlah kes baharu yang dilaporkan setiap hari dan jumlah kes harian, terus meningkat dan kadang kala mendatar.

Sementara trend bagi pesakit yang sembuh dan dibenar pulang setiap hari, turut meningkat.

“Selain itu, statistik turut menunjukkan terdapat dua kumpulan usia masyarakat paling tinggi dijangkiti COVID-19 berbanding kumpulan usia yang lain.

“Bagi kumpulan usia yang pertama ialah di antara 26 hingga 30 tahun, dan kumpulan usia kedua pula ialah 56 hingga 60 tahun.

“Faktor kumpulan usia yang muda itu kita rasa mungkin dalam kalangan pelajar atau mereka yang baru kembali dari luar negara atau pun mereka sering keluar walaupun dalam tempoh PKP.

“Bagi kumpulan kedua, kita lihat mereka sebagai ketua keluarga yang selalu keluar untuk membeli barang dan sebagainya dan mungkin dijangkiti ketika itu,” katanya.

Terdahulu, dalam hantaran Facebooknya awal pagi semalam, Noor Hisham turut menegaskan rakyat adalah penentu utama dalam menghentikan pandemik COVID-19 di negara ini.

Katanya, setiap rakyat mempunyai peranan dalam memerangi penularan COVID-19 dengan mematuhi PKP agar berada di rumah masing-masing.

Katanya, masyarakat juga memainkan peranan penting dalam meratakan lekuk penularan COVID-19 bagi membolehkan sistem kesihatan lebih banyak masa dan kapasiti untuk menampung keperluan penjagaan kesihatan mereka.

“Walaupun situasi semasa ini adalah suatu pengalaman yang baharu, sektor kesihatan sudah merancang dan bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Dengan pembabitan petugas daripada semua peringkat, kami melakukan yang terbaik demi memastikan keselamatan semua pihak. Sememangnya kesihatan anda tetap menjadi keutamaan kami,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan sama ada PKP dilanjutkan sehingga fasa ketiga atau keempat, bergantung kepada pematuhan rakyat terhadap perintah itu.

Pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Bangunan Perdana Putra, semalam, kerajaan katanya, memahami kehendak rakyat yang mahu menjalani kehidupan biasa semula berbanding ketika ini.

“Esok (hari ini) PKP fasa kedua akan dilaksanakan dan ramai yang bertanya apakah akan diteruskan menjadi PKP fasa ketiga dan keempat atau sehingga bulan puasa (Ramadan).

“Saya tahu ramai rakyat mahukan kembali kepada kehidupan biasa.

“Yang boleh memastikan tiada PKP fasa ketiga atau keempat adalah bergantung kepada tuan-tuan dan puan-puan, jika kita terus patuh kepada SOP (prosedur operasi standard) dan arahan kerajaan,” katanya.

Ramadan dijangka bermula 24 April ini, kira-kira seminggu selepas PKP fasa kedua tamat, iaitu pada 14 April ini.

Kerajaan mengisytiharkan PKP bermula 18 Mac lalu selama dua minggu sehingga semalam, dalam usaha memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya baru-baru ini mengumumkan PKP dilanjutkan sehingga 14 April ini. – Berita Harian

Facebook Comments Box