Gara-gara Tarik Suara Tinggi Ketika Karaoke, Salur Darah Dalam Otak Wanita ini Pecah. Seorang wanita hampir maut selepas saluran darah arteri di otak pecah ketika sedang mencapai nada yang tinggi dalam satu sesi karaoke pada 5 Jun.
Daily Mail melaporkan wanita dari China yang berusia 55 tahun dikenali sebagai Zhang telah mengalami sakit kepala yang teruk dan mula muntah ketika dia menyanyikan lagu yang dipercayai bernada tinggi semasa menghadiri parti keluarga di sebuah bar karaoke.
Pakar perubatan yang merawat berkata keadaan ini disebabkan oleh aneurisma otak di mana terjadi ‘gelembung udara’ atau pembengkakan pada dinding salur darah arteri yang menyalurkan darah ke otak, menyebabkan pembentukan darah berlaku yang mana akhirnya akan pecah.
Aneurisme otak biasanya mempengaruhi arteri otak utama yang mengalir di bawah otak dan dasar tengkorak, yang mana risiko aneurisme pecah terjadi ke atas golongan berusia 40 tahun ke atas.
Keadaan ini amat membahayakan pesakit kerana kerosakan otak boleh berlaku sehingga membawa maut sekiranya rawatan segera tidak diberikan.
Zhang telah dikejarkan ke hospital dan berjaya diselamatkan selepas menjalani pembedahan kecemasan selama 2 jam.
Media tempatan melaporkan semasa majlis itu, Zhang menyanyikan dua buah lagu berturut-turut dan dia meneruskan nyanyian sebuah lagu klasik rakyat China yang terkenal dengan nada yang sangat tinggi.
Selepas melakukan imbasan CT, doktor mendapati saluran darah telah pecah sepanjang 0.09 inci di otak Zhang.
Doktor pakar yang merawat Zhang di Hospital Dailan berkata aneurisma otak terjadi disebabkan beberapa faktor sejarah kesihatan Zhang iaitu penyakit tekanan darah tinggi dan kencing manis.
Keadaan Zhang dilaporkan stabil dan kini dalam proses kembali pulih di hospital.
Terdahulu insiden melibatkan sesi karaoke pernah berlaku di mana paru-paru seorang lelaki dari China terluka semasa sedang berkaraoke. Tekanan yang kuat pada dada lelaki itu ketika menyanyi tanpa teknik yang betul telah menyebabkan keadaan tersebut berlaku. – Era Baru