Seorang wanita yang dikenali sebagai Kris Monk berkongsikan gambar yang sempat ditangkapnya ketika seekor kumbang merangkak keluar dari belakang mata anak perempuannya yang berusia enam tahun.
Kris Monk mengakui dia hampir mengalami serangan panik apabila melihat seekor serangga mati sebesar kacang merah muncul dari belakang mata anak perempuannya, SibiKaia dan jatuh ke lantai hospital.
Doktor memberitahunya bahawa kumbang cedar hitam tersebut telah bersarang di bawah kelopak mata anaknya dan merangkak di sepanjang biji matanya.
Doktor juga berpendapat bahawa serangga itu mengambil masa sembilan jam untuk mati sebelum tubuh kanak-kanak itu dapat menolak serangga tersebut keluar secara semula jadi.
Kumbang tersebut dikatakan terbang ke dalam mata kiri anaknya itu pada suatu petang tetapi ibunya tidak dapat melihat apa-apa yang luar biasa selain kesan merah.
Selepas kejadian tersebut SibiKaia terbangun dengan matanya berair sekitar jam 1.30 pagi mendakwa matanya sakit. Wanita berusia 40 tahun itu memeriksa mata anaknya sekali lagi dan ternampak ‘benda hitam’ yang disangkanya telur lalat.
Dia membangunkan suaminya Joseph dan mereka terus memandu selama 20 minit ke hospital terdekat di mana mata SibiKaia mula mengeluarkan nanah, sebelum serangga yang telah mati itu akhirnya jatuh sendiri dari matanya pada pukul 3 pagi.
Walaupun Kris berasa cemas melihat apa yang berlaku, kanak-kanak tersebut bersikap tenang dan sempat memberikan nama ‘Todd’ kepada kumbang yang keluar dari matanya itu.
Sumber: Mirror