Individu Positif Covid-19 Di Kawasan PKPD Menjangkiti Peniaga Di Pasar Lain

SERAMAI 74 individu positif Covid-19 dikesan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pusat Bandar Utara, Pasar Borong Kuala Lumpur dan Selayang sekali gus menjangkiti peniaga di pasar lain.Individu Positif Covid-19 Di Kawasan PKPD Menjangkiti Peniaga Di Pasar Lain

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 13 individu positif terdiri peniaga pasar lain yang dijangkiti ketika membeli, memborong sayur dan barangan lain sebelum kembali berniaga di kawasan masing-masing.

“Kita percaya ada antara pekerja di pasar borong itu menghadiri perhimpunan Sri Petaling dan ia sudah menjangkiti orang di kawasan itu.

“Apabila dikesan ada positif, jadi kita ambil tindakan saring kontak rapat mereka contohnya 60 peniaga di Bahau, Negeri Sembilan disaring, kita tutup pasar dan melakukan nyahkuman.

“Kita lakukan perkara sama di Pasar Taman Megah, Pasar Jalan Othman dan Pasar Chow Kit iaitu tutup pasar dan lakukan saringan kepada peniaga lain,” katanya pada sidang media harian hari ini.

Menurutnya, tindakan aktif Kementerian Kesihatan Malaysia dengan mengesan kontak rapat seperti dilakukan ketika gelombang pertama membabitkan warga China di Langkawi dan Banting berjaya membendung penularan wabak itu.

Individu Positif Covid-19 Di Kawasan PKPD Menjangkiti Peniaga Di Pasar Lain

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM turut mengesan ada peserta perhimpunan di Sri Petaling dalam kawasan PKPD iaitu di Menara Plaza City One, Malayan Mansion, Selangor Mansion dan Pasar Borong Selayang.

“Jadi kluster ini (jemaah tabligh) ada lanjutan daripada kumpulan tabligh, kita memantau rapi kawasan PKPD ini, kita akan ulangi saringan selepas dua minggu di kawasan ini.

“Itu tindakan kita, tiada pengurangan sampel dilakukan, tetapi pengesanan kes positif sudah berkurangan.

“Ini menunjukkan langkah kita ambil iaitu perintah kawalan pergerakan berjaya melandaikan lengkung,” katanya.

Menurutnya, apa yang dilakukan KKM adalah sebaik pihaknya mengesan kes positif, pesakit akan terus diasingkan dan dimasukkan ke hospital untuk dirawat.

“Bagi negara lain, kes positif dibenarkan duduk di rumah tetapi kita tidak lakukan begitu.

“Jika ada kes disyaki tetapi belum positif pun kita akan tempatkan di pusat kuarantin KKM,” katanya.

Menurutnya, 31 kes baharu yang dikesan hari ini, 10 individu membabitkan kes import iaitu baru pulang dari luar negara manakala 21 kes lagi melalui ujian saringan. – Harian Metro

Facebook Comments Box