Baru-baru ini tular video mengenai seorang pemandu warga emas berusia 73 tahun nekad memandu lawan arus Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA). Tindakan nekad lelaki warga emas yang memandu kereta Perodua Kelisa itu dirakam oleh seorang pengguna jalan raya.
Si pengguna dan perakam video memberitahu dia cuba mengejar kereta berkenaan selepas pemandunya cuba melarikan diri selepas terlibat dalam satu kemalangan.
“Saya tengah kejar dia…. ini berhampiran Balai Bomba Seksyen 15 (Shah Alam). Kau dah langgar orang, kau lari… kau lawan arus lagi. Dah dua kilometer dia lawan arus… dua kilometer! Bukan dekat-dekat,” demikian kata pengguna tersebut dalam nada marah.
Dari video yang tular tersebut, kereta Kelisa akhirnya bertembung dengan sebuah kereta Perodua Myvi yang tak sempa mengelaknya dan menyebabkan kedua-dua kereta remuk di bahagian depan.
Sebelum bertembung dengan kereta Perodua Myvi, pemandu Kelisa itu juga telah menyebabkan sebuah kereta Honda City terbabas dan terbalik selepas cuba mengelaknya.
“Sebuah kereta Honda City terbabas dan terbalik kerana cuba mengelak kereta Perodua Kelisa yang dipandu suspek di kilometer (KM) 3.1 menghala ke pusat bandar Shah Alam,” kata Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib.
Pemandu kereta Honda City mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital manakala pemandu Kelisa dan Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan.
VIDEO:
Pihak polis telahpun menahan pemandu warga emas berkenaan. Difahamkan punca pemandu Kelisa memandu lawan arus adalah disebabkan tidak membawa kad prabayar Touch n Go dan mahu pulang semula ke rumahnya di Seksyen 8.