Negara kita dipandang sebagai salah satu negara yang unik kerana rakyatnyaterdiri daripada pelbagai bangsa dan latar belakang, namun kita tetap masih dapat hidup dalam keadaan aman dan menghormati satu sama lain.
Sememangnya hidup berjiran akan mengajar kita erti bertolak-ansur dan saling bantu-membantu sesama jiran. Namun ada juga beberapa situasi yang kebiasaannya bersikap pentingkan diri-sendiri akan menimbulkan rasa tidak senang dan menyusahkan orang.
Baru-baru ni tular satu perkongsian seorang lelaki yang dikenali sebagai Cikgu Li berkongsi gambar jalan masuk ke rumahnya dibina bonggol, bukan satu tapi 11 bonggol. Kejadian berlaku di Jerteh, Terengganu itu menjadi tular apabila bonggol itu dikatakan dibuat oleh jiran kerana tidak puas hati orang membawa kereta dengan laju di kawasan tersebut.
Perkongsian yang tular:
Lepas zohor semalam tiba-tiba wujud 11 bonggol baru atas jalan masuk ke rumah Cikgu Li.
Jadi Cikgu Li terpaksa panggil kontraktor buat jalan baru ikut belakang.
Malas nak bergaduh dengan orang gila buat-buat ni.
Sebelum ni dia letak batu di tengah-tengah jalan dan halangan di tengah jalan.
Kononnya kereta lalu laju depan rumah dia.
Mustahil untuk kereta lalu dengan laju sebab memang ada 2 bonggol sebelum rumah dia dan kat tiang letrik betul-betul sebelah rumah dia.
Pernah sekali bila Cikgu Li balik dari masjid untuk Solat Subuh ; tiba-tiba dia muncul dari semak dan mengacukan parang.
Cikgu Li pun undur kereta dan masuk ikut jalan lain.
Sebelum tu dia pernah tunggu tengah-tengah jalan sambil mengacukan batang ubi.
Mujur emak dia dan saudara dia ada di luar rumah ; mereka yang pujuk dia suruh ke tepi.
Malas dah nak panjangkan cerita. Kalau bergaduh, takut ada yang cedera pulak. Silap haribulan ada yang masuk penjara. Apa pandangan kawan?
Dalam pada itu Cikgu Li turut berkongsi update kes tersebut menerusi perkongsian baru di Facebooknya
Katanya, jalan itu dibina atas rezab jalan dan bukan atas tanah jirannya.
” Jalan tersebut memang dibina atas rezab jalan. Bukannya atas tanah milik persendirian. Dan sebelum ni dah ada 3 bonggol atas jalan.
” Mustahil nak lari laju seperti yang dikhayalkan beliau. Perkara ini sudah dalam pengetahuan pihak berkuasa.
” Petang tadi Majlis Daerah Besut dan PDRM telah turun padang. Jadi kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk uruskan. Harap maklum!” tulisnya.
Menerusi status terbaru, Cikgu Li turut berkongsi gambar resit pembelian batu bagi tujuan pembinaan jalan baru. Menurutnya, dia tidak mahu memanjangkan cerita dan hanya mahu berdamai.
” Hari ni berpagi-pagi cari batu untuk buat jalan baru. Semoga tiada lagi sengketa sesama kita.”
Penjelasan jiran Cikgu Li
Jiran Cikgu Li yang membuat bonggol tersebut memberikan respons balas dan menjelaskan keadaan sebenar. Menurut jiran, dia sudah banyak kali menegur Cikgu Li agar tidak memandu laju melalui rumahnya.
Katanya lagi, dia terganggu dengan bunyi kereta Cikgu Li yang keluar masuk sehingga lewat malam dan mengganggu tidurnya, apatah lagi dia kini ada masalah kesihatan.
TERKINI: Jalan Alternatif Sudah Siap Untuk Diguna
Menerusi perkongsian terkini, jalan alternatif sudah siap digunakan. Semoga masalah ini boleh diselesaikan dengan secepat mungkin dan doakan semoga diselesaikan dengan cara baik dan puaskan hati semua pihak terlibat.
Kredit: Ahmad Fadzli Fauzi