Penduduk yang tinggal di Kepulauan Solomon dikejutkan dengan kemunculan seekor katak gergasi yang bersaiz sebesar seorang bayi manusia.
Katak yang luar biasa besar itu mempunyai berat hampir 1kg dan pertama kali dilaporkan ditemui di tempat berkenaan pada April lepas ketika muncul di kawasan kampung. Sebenarnya sebelum ini, katak itu juga pernah dilihat oleh beberapa orang.
Seorang lelaki yang dikenali sebagai Jimmy Hugo, 35 menemui katak gergasi itu ketika sedang memburu babi liar di pinggiran Honiara. Menurut Jimmy yang juga merupakan pemilik kilang kayu, dia terperanjat besar apabila melihat katak tersebut di depan matanya.
Dia hampir tidak percaya dengan apa yang dilihatnya dan mengatakan itu adalah katak terbesar yang pernah ditemui dalam hidupnya. Tambahnya lagi, saiz katak itu hampir sama dengan saiz bayi manusia.
Katak yang bersaiz besar tersebut kemudian dikenalpasti sebagai katak jenis Cornufer guppyi frog dan merupakan salah satu katak terbesar di dunia. Katak jenis ini pernah dijumpai di New Britain di Kepulauan Bismarck dan sekarang di Kepulauan Solomon.
Jimmy Hugo juga memberitahu penduduk kampung menggelar katak itu sebagai ‘ayam belukar’ kerana ada segelintir penduduk kampung gemar menjadikan haiwan itu sebagai makanan berbanding ayam dan mendakwa rasanya lagi sedap dari ayam. Tambahnya lagi, katak itu tidak mudah untuk ditangkap.
Katak Cornufer Guppyi ini terancam dengan aktiviti manusia seperti pembalakan. Selain itu bahan kimia dan bahan pencuci yang dibuang ke sungai juga berbahaya kerana boleh merosakkan kulit katak dan menyebabkan kematian amfibia tersebut.
Katak yang terbesar di dunia pada masa sekarang ialah katak Goliath yang beratnya boleh mencecah 3kg dan 36cm panjang serta boleh ditemui di Cameroon, Afrika dan utara Equatorial Guinea.