Selepas tiga kali terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan, pelawak Mamat Sepah akhirnya menamatkan zaman bujang dengan seorang anggota polis yang dikenali sebagai Nana di Kulai, Johor semalam.
Mamat atau nama sebenar Mohd Noor Murad, 35, meluahkan rasa syukur kerana segala urusan majlis pernikahannya berjalan dengan lancar.
“Alhamdulillah, majlis berjalan lancar dan berlangsung seperti yang dirancang. Akhirnya saya bergelar suami.
“Macam tak sangka, tetapi ya… Saya sudah melangkahkan kaki ke satu fasa baharu dalam hidup ini, syukur,” kata Mamat.
Berita gembira itu dikongsi Mamat atau nama sebenarnya Mohd Noor Murad menerusi laman Instagram dengan memuat naik sekeping gambar setelah selesai melafazkan akad nikah.
“Besar amanahnya” – Mamat
Isterinya yang berasal dari Lahad Datu, Sabah turut berkongsi momen hari bersejarah itu ketika acara membatalkan air sembahyang di atas pelamin.
“Bismillah, 01 Mac 2020 tarikh yang tak akanku lupa sampai hujung nyawa. Seperti mimpi bila aku akan memanggilmu sebagai suami.
“Terima kasih atas akadmu untukku suamiku. Semoga ikatan suci kita kekal sampai syurga, amin,” katanya.
Terdahulu selepas bertunang pada 2018, mereka merancang ingin berkahwin pada Mac namun ditangguh ke April dan seterusnya ke Disember disebabkan komitmen Mamat terhadap Maharaja Lawak Mega (MLM) 2019.
Dalam pada itu, Mamat memberitahu dia dan isteri tidak mempunyai perancangan mengenai lokasi berbulan madu disebabkan masing-masing sibuk kerja.
Mamat dan isteri belum ada perancangan mengenai lokasi berbulan madu.
“Bulan madu tu kami tak fikir lagi. Tapi tengoklah dalam sehari dua ini macam mana sebab kami nak pergi rumah saudara mara dulu.
“Kalau ikut adat orang jawa ni, pengantin kena pergi rumah saudara mara dulu. Jadi, biar kami selesaikan tour ini dahulu,” ujarnya.
Menerusi ruangan komen di instagram, rata-rata peminat mengucapkan tahniah dan mendoakan agar pasangan ini bahagia hingga ke jannah.