Motosikal terbang akan berada di pasaran pada tahun 2023 seperti yang didedahkan oleh sebuah syarikat pembuatan alatan futuristik, Jetpack Aviation yang berpangkalan di California. Kejayaan sesi pandu uji motosikal itu yang digelar The Speeder baru-baru ini memberi harapan positif bahawa penggunaan motosikal terbang bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.
Motosikal The Speeder dibina dengan program perisian kawalan penerbangan unik Jetpack Aviation untuk membantu memantau dan menyesuaikan daya tuju sepanjang pemanduan.
Perisian yang memerlukan masa setahun setengah tahun untuk dihasilkan itu membolehkan motosikal terbang dan secara automatik menstabilkan kenderaan itu di udara.
“Kami mungkin akan menghasilkan motosikal jenis ultra ringan yang tidak memerlukan lesen juruterbang untuk dikendalikan.“Ia dijangka siap dalam tempoh dua tahun dan versi kategori profesional dalam tempoh enam bulan selepas itu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Jetpack Aviation, David Mayman.
“Kelajuan versi ultra ringan akan dihadkan hingga 60 kilometer sejam sejajar dengan peraturan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan waktu penerbangan selama 15 minit.
Versi motosikal terbang kategori profesional memerlukan lesen juruterbang asas dengan kelajuan 250 kilometer sejam dan waktu penerbangan sekitar 35 minit,” jelas Mayman.
Motosikal The Speeder yang seberat 136kg itu akan dilengkapi dengan lapan turbin yang membolehkannya menampung pemandu yang mempunyai berat dua kali ganda daripadanya.
Jetpack Aviation sudah mula mengambil tempahan awal daripada orang awam yang berminat dan harga yang ditetapkan adalah AS$381,000 (RM1.6 juta) seunit.
Sumber: Kosmo