Satu rombongan lawatan murid-murid tadika dan penjaga mereka di Marang, Terengganu dikejutkan dengan satu kejadian mencemaskan ketika berada dalam bas pada 30 Ogos lalu.
Menurut Azulia Ibrahim yang merupakan seorang ibu kepada salah seorang murid yang turut berada di dalam bas, ketika di dalam bas, seekor ular kira-kira satu meter panjang ditemui melingkar di salah satu beg seorang murid tadika.
Ketika itu, rombongan ini dalam perjalanan pulang ke tadika selepas lawatan di sekitar Marang sebelum seorang murid tiba-tiba memberitahu ada ular. Penjaganya cakap jangan mengarut, namun kemudian menjerit apabila menyedari betul-betul ada seekor ular jatuh dekat atas tempat duduk di depan dia.
Penemuan ular itu menyebabkan suasana menjadi panik dan kelam kabut. Pemandu bas yang menyedari situasi berkenaan terus menghentikan bas dengan segera manakala para penumpang di tempat duduk hadapan segera keluar dari bas.
Namun begitu, Azulia Ibrahim, anaknya serta murid dan ibu bapa yang duduk di bahagian belakang, mereka terpaksa duduk diam di tempat masing-masing. Ini disebabkan ular itu berada di tempat duduk bahagian tengah bas dan menyebabkan mereka tidak dapat keluar tanpa melalui ular tersebut.
Ular yang tidak diketahui spesis itu dipercayai sudah agak lama di ruang penyimpanan barang bahagian atas sebelum keluar dan menyusur ke tempat duduk penumpang dan melingkar di beg murid.
Pemandu bas bertindak cepat untuk mendapatkan bantuan daripada penduduk berdekatan dan akhirnya mereka berjaya membantu mengeluarkan ular itu lebih kurang 15 minit kemudian.
Menurut Azulia, ular itu berkemungkinan bukan spesis yang berbisa tetapi mereka mana tahu mengenal ular itu berbisa atau tidak. Rata-rata penumpang trauma dengan kejadian yang baru sahaja berlaku. dan selepas ular itu dikeluarkan, rombongan itu pun meneruskan perjalanan pulang ke tadika.
Dia juga menasihatkan agar pemandu bas mungkin perlu ada pengetahuan atau kemahiran asas bagi menangani kejadian sedemikian. Selain itu, para penyelia bas juga dinasihatkan agar memuat pemeriksaan sebelum bas berjalan membawa penumpang.