Sebut saja jerawat, mesti anda semua pernah mempunyai jerawat sejak dari umur remaja lagi hinggalah dewasa. Jerawat yang timbul di wajah memang tidak menyenangkan dan ramai orang yang suka memicit jerawat di wajah untuk hilangkannya dan juga timbulkan rasa puas hati.
Walaupun memicit jerawat kelihatan mudah, namun tabiat memicit jerawat adakalanya boleh mendatangkan risiko yang lebih teruk lagi seperti apa yang berlaku kepada wanita yang dikenali sebagai Rozita ini. Kisahnya dia memicit dan memecahkan jerawat yang timbul di hidungnya.
Jerawat itu pada asalnya adalah kecil sahaja, namun selepas 3 hari, wajahnya mula bengkak. Lagi teruk cecair nanah terus meleleh keluar dengan dengan agak kerap.
Pada mulanya wanita ini beranggapan, masalahnya boleh pulih dengan menggunakan krim sapuan biasa namun sebaliknya berlaku apabila hidungnya menjadi semakin parah.
Akhirnya wanita ini terpaksa dimasukkan ke hospital dan kena tahan wad selama 6 hari untuk rawatan.
Wanita ini terkejut besar apabila doktor memberitahu dia berdepan dengan risiko nanah naik ke kawasan otak. Nasib baik proses rawatan berjalan dengan lancar dan tidak jadi makin serius.
Walaubagimanapun, kesan parut di wajahnya yang berwarna kehitam-hitaman itu memakan masa untuk pulih dan hilang sepenuhnya.
Jerawat dalam kawasan segitiga atau dalam kawasan ‘T’ adalah berisiko untuk dipicit kerana ianya bahagian yang sensitif.
Kawasan segitiga pada muka ini akan membawa darah terus ke kawasan yang dinamakan sebagai Cavernous Sinus. Cavernous Sinus pula akan membawa darah terus ke bahagian otak.
Oleh itu kalau ada jangkitan pada kawasan segitiga yang ditunjukkan, maka risiko jangkitan untuk masuk ke dalam bahagian ini juga tinggi. Oleh itu sebaiknya elakkan darpada memicit jerawat terutama yang berada di kawasan segitiga ini.