ORANG ramai yang terkandas di kampung dan mahu merentas negeri boleh mengisi aplikasi GerakMalaysia atau ke balai polis berhampiran bermula 25 April ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mendengar rintihan mereka yang sudah berada di kampung masing-masing selama sebulan dan ingin pulang ke rumah mereka.
“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, ramai rakyat kita berebut mahu pulang ke kampung masing-masing.
“Kebanyakan mereka sudah berada di kampung lebih sebulan, banyak aduan kami terima ada cakap tiada pakaian sudah mahu dipakai, resah tinggalkan rumah sudah lama atau bimbang rumah dipecah masuk.
“Ada juga dipisahkan dengan anak-anak dan kami memahami keresahan mereka lebih-lebih lagi apabila mendengar kerajaan memberi kelonggaran kepada penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) untuk pulang ke kampung masing-masing,” katanya dalam sidang media harian hari ini.
Ismail Sabri berkata, ada perbezaan kenapa kelonggaran diberikan kepada penuntut berbanding mereka yang terkandas di kampung.
“Mereka (penuntut) kita sudah tahu jumlah sebenar dan status kesihatan mereka kerana hanya berada di kampus.
“Tetapi berbeza dengan mereka berada di kampung yang tinggal berselerak dan kita tidak tahu jumlah sebenar mereka,” katanya.
Menurutnya, kerajaan perlu tahu terlebih dulu jumlah mereka kerana bimbang pergerakan besar-besaran akan berlaku nanti.
“Disebabkan itu, mereka yang berkeinginan untuk pulang ke rumah masing-masing perlu melapor diri kepada polis menerusi aplikasi dalam talian dinamakan GerakMalaysia yang dibangunkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bermula 25 April ini,” katanya.
Katanya, bagi mereka yang tiada kemudahan Internet boleh berdaftar di balai polis yang berdekatan dengan syarat membuat temujanji terlebih dulu dengan balai polis berkenaan.
“Ini bagi memastikan proses pendaftaran berjalan dengan lancar dan mengelak orang ramai menyerbu balai polis secara beramai-ramai.
“Bagaimanapun keputusan muktamad hanya akan dikeluarkan selepas 1 Mei selepas mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Sumber: Harian Metro