Memakai syampu ubat untuk menyingkirkan kutu bertukar menjadi mimpi ngeri buat seorang gadis apabila rambutnya disambar api.
The Sun melaporkan, kejadian berlaku ketika Aleema Ali, 16, pulang dari asrama sempena cuti sekolah empat tahun lalu.
Pada Disember 2016, gadis itu nekad merawat masalah kutu dialaminya dengan mamakai syampu ubat ‘Full Marks Solution’.
Difahamkan, ketika membiarkan syampu itu selama beberapa minit, Aleema membantu ibunya yang sedang memasak melakukan kerja rumah.
Malangnya, ketika berjalan ke dapur untuk membuang sampah, dia tidak menyedari syampu berkenaan mengandungi bahan mudah terbakar menyebabkan rambutnya disambar api.
Mangsa yang kemudian tiba di hospital 10 minit selepas kejadian dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dikomakan selama dua bulan.
Menurut laporan, 55 peratus tubuh badannya mengalami luka terbakar tahap ketiga termasuk wajah, kepala, lengan, dada, kedua-dua paha, perut, belakang dan kedua-dua tangan. Selain itu, dia juga kehilangan tujuh jari dan hanya boleh menggerakkan dua saja.
Kejadian itu menyebabkan Aleema terpaksa menjalani beberapa pembedahan pencantuman kulit dan pakaian khas untuk membantu proses penyembuhan.
Empat tahun kemudian, Aleema dari Bradford, England bangkit meneruskan kehidupan dan kini merupakan pelajar peringkat A Level di sebuah kolej.
Sumber: CARI