Seorang cikgu berkongsikan kisah kisah kekentalan seorang murid miskin sanggup datang ke sekolah dengan memakai pakaian dan kasut milik abangnya yang saiznya tidak padan dengan fizikalnya.
“Saya sebak, dalam ramai orang susah yang sudah saya jumpa, dia sangat istimewa kerana mempunyai azam begitu tinggi dan datang sekolah biarpun dalam keadaan serba daif.
“Insya-Allah, saya rancang ambil dia sebagai anak angkat dan bantu sedaya mana yang termampu supaya dia dapat meneruskan persekolahan seperti murid lain,” kata cikgu Mohd Nasir Mohd Zain.
Mengenai niatnya berkongsikan kisah murid tahun 3 itu dan membeli kelengkapan sekolah untuknya, cikgu ini menjelaskan bahawa dia bukan mahukan pujian tetapi sebaliknya mahu memberi inspirasi kepada masyarakat terutama anak muridnya.
“Air mata saya hampir menitik melihat dia sanggup seret kakinya di lantai supaya kasut dia yang saiznya jauh lebih besar daripada kakinya tidak tertanggal manakala tangannya sentiasa memegang seluar bagi mengelak terlondeh.
“Saya fikir kalau terjadi kepada anak saya atau murid lain, pasti malu dan tak mahu pergi sekolah.
“Jadi saya tak kisah apa pun orang hendak kata kerana niat saya berkongsi kisah ini supaya ia dijadikan inspirasi kepada orang lain terutama murid lain supaya tidak menjadikan kemiskinan satu halangan untuk datang ke sekolah”
Dari maklumat yang diperolehnya, murid yang mempunyai empat adik-beradik itu datang daripada keluarga miskin.
“Saya fikir sekarang dia belajar di tahun tiga mungkin belum tahu apa itu perasaan malu.
“Bayangkan kelak bila dia naik ke tahun empat, lima atau enam, tidak mustahil dia akan rasa malu dan jika tidak pergi sekolah sudah pasti masa depan dia akan gelap.
“Jadi, jika ada sokongan moral macam ini saya rasa sekurang-kurangnya boleh menaikkan semangatnya untuk maju dalam pelajarannya,” katanya.
Katanya, dia merasa puas melihat riak wajah murid berkenaan selepas menerima kelengkapan sekolah serba baru yang dibeli di kedai di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Apabila melihat ekspresi muka kanak-kanak itu yang sangat gembira seolah-olah mendapat apa yang dimahukannya selama ini adalah satu kepuasan dan kegembiraan kepada cikgu dan kita semua.