Pelajar Di Kedah Panjat Pokok Bagi Dapatkan Capaian Internet Agar Tidak Ketinggalan Dalam Pelajaran

Baling: Tidak mahu ketinggalan dan terganggu dalam menuntut ilmu, seorang pelajar di Kampung Tembak B sanggup memanjat pokok bagi memasang peranti telekomunikasi untuk mendapat capaian internet lebih baik.nangtime.com - Pelajar Di Kedah Panjat Pokok Bagi Dapatkan Capaian Internet Agar Tidak Ketinggalan Dalam Pelajaran

Capaian internet lemah di kawasan luar bandar mendorong Saiful Izwan Mohd Hilmi, 21, berbuat demikian kerana sering mengalami masalah khususnya dalam melaksanakan sesi pembelajaran secara dalam talian.

Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan sejak awal pelaksanaan kelas secara dalam talian.

“Antara yang dilakukannya adalah mencari capaian lebih laju di kawasan rumah dan persekitaran.

“Kadang-kadang ia menjadi sukar sehingga menyebabkan pembelajaran terganggu,” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim ke rumahnya.

Saiful Izwan yang belajar di Universiti Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar dalam jurusan Pengajian Islam berkata, akibat pelbagai masalah yang timbul khususnya dari segi keselamatan apabila berada di luar kawasan rumah, dia mengambil keputusan untuk meletakkan router wi-fi di atas pokok bagi memastikan capaian internet dapat diterima, sekali gus melancarkan sesi pembelajarannya saban hari.

“Itu kaedah saya lakukan bagi memastikan sistem pembelajaran tidak terganggu, tetapi apabila talian sibuk sekali lagi ia terganggu.

“Saya pasang router atas pokok supaya internet laju, malah di musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ramai pulang ke kampung dan menggunakan talian internet,” katanya.

Menurutnya, capaian internet laju waktu pagi sahaja, tetapi apabila tengah hari dan petang ia menjadi perlahan dan sukar untuk sesi pembelajaran dalam talian.

Rakannya, Mohd Faizul Ezuan Saidi, 21, dari Kampung Guar Tinggi, Kuala Ketil berkata, dia menggantung router di bumbung dalam rumahnya untuk mendapatkan capaian internet lebih laju.

“Saya mencari liputan talian di seluruh kawasan rumah supaya internet laju untuk pembelajaran.

“Selain itu saya mengalami masalah terutama membabitkan tugasan menghantar video yang mengambil masa sekitar 3 hingga 4 jam,” katanya.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, perkara ini sudah lama dan berulang kali diutarakan kepada kementerian terbabit.

Beliau meminta Kementerian Komunikasi memberi keutamaan kepada penduduk di kawasan Baling, Sik dan Padang Terap yang sukar menggunakan internet untuk belajar dalam talian.

“Saya selalu mengutarakan dalam sidang dewan supaya kementerian terbabit beri keutamaan di kawasan luar bandar.

“Ada pelajar menggunakan kreativiti mereka dengan memanjat pokok membeli wayar, batang paip untuk mencari capaian yang lebih baik untuk belajar,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh PKPB ini bukan hanya pelajar di peringkat universiti sahaja belajar secara dalam talian, tetapi pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) juga melalui cara sama.

“Anak-anak di sekolah rendah pun belajar dalam talian, jadi wajar kementerian terbabit peka masalah dihadapi pelajar di kawasan pedalaman.

“Bagaimanapun saya sudah menyediakan kemudahan itu untuk pelajar di Pusat Khidmat Kuala Ketil dan mereka boleh pergi belajar di situ dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Sumber: Harian Metro

Facebook Comments Box