SEORANG pemandu Grab tidak pernah menyangka akan melalui pengalaman membawa penumpang yang sarat hamil dan sudah tiba masa untuk bersalin.
Selepas melakukan kerja ini selama dua tahun, keretanya bolehlah dikatakan ‘mencatat sejarah’ apabila salah seorang daripada penumpangnya selamat melahirkan bayi semasa dalam perjalanan ke hospital.
Pemandu Grab berkenaan, Mohamad Shahir Baharudin, 39, berkata, kejadian berlaku pada pagi Rabu ketika mahu mengambil penumpang yang merupakan pasangan suami isteri warga Rohingya di sebuah apartment di Bukit Jambul, Pulau Pinang.
Dia memberitahu, waktu puncak pagi itu menyebabkan dia ‘tersangkut’ di beberapa persimpangan lampu isyarat sebelum ke lokasi mengambil penumpang.
“Bila nak dekat sampai, penumpang tu call saya minta tolong cepat sebab isteri dia dah nak bersalin, minta tolong segera dibawa ke hospital.
“Sebaik tiba, isteri dia yang berkain batik dengan lapisan tuala lebih besar terus dibaringkan di tempat duduk belakang. Suami dia duduk di tempat duduk penumpang hadapan,” katanya kepada mStar.
Dalam perjalanan ke Hospital Lam Wah Ee yang jaraknya kira-kira 15 minit, Mohamad Shahir yang berasal dari Bayan Baru, Pulau Pinang berkata, wanita itu beberapa kali mengerang kesakitan.
“Memang cuak masa tu. Saya cuba memandu secepat yang mungkin tapi masih berhati-hati. Sebab saya duduk memandu di hadapan, tak tahu macam mana keadaan penumpang tu seorang di belakang.
“Sepanjang perjalanan, kedua-dua mereka bercakap dalam bahasa mereka. Tiba-tiba suami dia yang duduk di hadapan bangun dan melompat ke tempat duduk belakang bila jeritan isteri semakin kuat.
“Lepas tu suami cakap dengan saya dalam bahasa Melayu, dia minta saya pandu lebih laju. Saya tak tahu apa-apa mungkin kepala anaknya dah nak terkeluar,” katanya. Bagaimanapun sejurus selepas itu, kedengaran suara tangisan bayi dalam perjalanan yang hanya kurang lima minit sebelum tiba di hospital.
“Masa tu bukan setakat baru keluar kepala, tapi dah terkeluar bayi terus. Bau air ketuban memang kuat, walaupun tak tahan dengan bau tu saya teruskan pemanduan.
“Saya terus pandu ke bahagian kecemasan, dan berhentikan kenderaan sebelum pergi jumpa jururawat beritahu ada penumpang bersalin dalam kereta saya,” katanya sambil menambah banyak darah menitis dari kereta sehingga ke dalam wad.
Keadaan yang berlaku pada pasangan suami isteri itu mengimbas kembali pengalaman Mohamad Shahir saat bergelar bapa buat pertama kali kira-kira lebih setahun lalu.
“Tapi masa tu isteri dalam dewan bersalin, jadi tak tahu apa yang berlaku. Sekarang ni penumpang bersalin dalam kereta yang saya pandu, pengalamannya lain macam.
“Ambil dua penumpang, sampai destinasi ada tiga orang. Isterinya selamat melahirkan bayi lelaki yang merupakan anak kedua mereka. Syukur alhamdulillah.
“Isteri saya sekarang tengah sarat mengandung… juga anak kedua, insyaAllah dijangka bersalin awal bulan Disember depan. Tak dapat nak bayangkan isteri saya macam itu, semoga segala urusan kami dipermudahkan,” katanya.
Sumber :mStar