Seorang wanita yang berkongsikan rasa kecewa dan terkilan dengan sikap penyewa yang menyewa rumah mereka sejak tahun 2016. Menurutnya rumah yang disewa itu adalah milik datuknya dan disewa oleh satu keluarga, suami isteri dan empat orang anak mereka.
Menceritakan kisahnya, Intan memberitahu mereka sekeluarga merasa pelik apabila ada orang yang bertanyakan tentang rumah tersebut dan mahu menyewa. Mereka merasa pelik kerana rumah itu sudahpun lama ada penyewa dan tiada kekosongan.
Selepas itu baru mereka tahu dari jiran-jiran berhampiran bahawa rumah itu sudah dikosongkan dan penyewanya sudah berpindah ke tempat yang lain.
Menurut gadis ini lagi, mereka kemudian menghubungi penyewa tersebut meminta mereka memulangkan kunci rumah. Namun sebaik sahaja masuk kedalam rumah, gadis ini terkejut melihat keadaan dalam rumah datuknya itu.
“Bila saya datang periksa rumah sewa tu, keadaannya tak seperti mula-mula mereka masuk menyewa. Ada banyak barang seperti perabot lama yang ditinggalkan dan tidak dibuang.
“Dinding rumah luar dan dalam dipenuhi conteng budak-budak. Saya tahu mereka ada anak-anak kecil dan paling besar pun berusia enam tahun, tapi takkan pindah keluar tinggalkan macam tu saja… nak jadikan wallpaper (kertas dinding) untuk penyewa baru ke?” soalnya.
Menurut Intan, di bahagian dalam rumah pula terdapat lampin bayi yang masih belum digunakan selain lampin bayi yang telah digunakan dengan dipenuhi air kencing.
“Mereka tak kemas seluruh rumah sebelum pindah keluar. Lantai tak disapu, sampah merata-rata. Paling teruk di dapur, sampai ada longgokan sampah yang sudah berulat.
“Bekas-bekas telur ditinggalkan. Bila kami alihkan, rupa-rupanya ada tikus buat ‘sarang’. Banyak tahi tikus yang kami jumpa sana sini,” ujar anak sulung daripada dua beradik itu.
Namun, apa yang paling mengejutkan Intan adalah bil air berharga kira-kira RM224 yang dijumpai di tingkap hadapan rumah sewa berkenaan.
“Bila saya kemas-kemas di bahagian dapur, terjumpa satu lagi bil elektrik bulan Januari 2021 dalam longgokan kertas yang mana jumlahnya adalah lebih RM3,300.
“Kedua-duanya adalah bil pada bulan lepas dan saya tengok jumlahnya tinggi disebabkan tunggakan. Tapi kenapa dibiarkan saja dan tak bayar sebelum keluar rumah, takkan tuan rumah pula yang kena bayarkan tunggakan bil air dan elektrik mereka,” katanya.
Keluarga gadis ini kini cuba untuk berurusan dengan bekas penyewa berkenaan bagi melunaskan tunggakan bil yang tidak dijelaskan selain membayar kos untuk membaik pulih disebabkan beberapa kerosakan di rumah yang disewa mereka selama ini.
“Rumah bersepah, kotor dengan dinding penuh conteng itu satu hal, ada soket di dinding yang rosak dan perlu diperbaiki. Kami tuan rumah yang kena kemaskan untuk mereka.
“Saya mahu ingatkan kepada penyewa-penyewa atau bakal penyewa di mana-mana, jadikanlah rumah sewa itu seperti rumah sendiri, ada rasa tanggungjawab.
VIDEO:
Gadis ini kemudiannya mengingatkan macam mana keadaan rumah itu yang cantik dan bersih sebelum didiami penyewa, maka sepatutnya macam itu lah juga keadaannya apabila mereka keluar. Dan bukan jadikannya jadi buruk dan kotor.
Kredit: mStar