“Penemuan Paling Berharga Seumur Hidup..” – Lelaki Menemui Cincin Purba, Bernilai Lebih RM360 Ribu. Untung Gila Lelaki Ini. Hutan Sherwood semestinya terkenal dengan legenda Robin Hood yang menjadi terkenal sebagai ‘penjenayah baik hati’. Hal ini kerana Robin Hood hanya melakukan aktiviti jenayahnya dengan merompak orang kaya untuk membantu masyarakat miskin.
Kini, seorang pemburu harta karun telah mendapat nasib yang sangat baik setelah menemui sebentuk cincin purba di sekitar kawasan hutan Nottinghamshire berkenaan.
Cincin purba ini dikatakan ditemui di dalam tanah dan dipercayai berasal dari abad ke-14. Malahan, anggaran nilai cincin purba ini juga dikatakan boleh mencapai sehingga RM367,000 ($87,000)!
Artifak yang sungguh bernilai ini telah ditemui oleh Mark Thompson yang menyara pendapatan hidupnya dengan bekerja sebagai pengecat jentera forklift. Namun, seluruh hidupnya mulai berubah apabila alat penjejak logamnya mengeluarkan bunyi sewaktu Mark sedang menjejaki barangan logam.
Mark yang berusia 34 tahun mula berminat untuk mengumpul barangan logam ini kira-kira 18 bulan yang lalu. Pada awalnya, Mark cuba melakukannya sekadar untuk berseronok dan berharap akan menemui duit syiling ataupun barangan lain yang tercicir oleh para pengunjung.
Sebaik sahaja alat penjejaknya berbunyi, Mark mula menggali tanah sebelum melihat pancaran sinar emas di dalam tanah tersebut. Sebaik sahaja membersihkannya daripada tanah, Mark mendapati ianya adalah sebentuk cincin dengan perhiasan batu nilam yang sangat cantik dan besar.
Mark kemudiannya membuat laporan mengenai penemuan tersebut yang kini sedang dalam proses mengenalpasti ketulenan harta karun berkenaan.
Dia kemudian dimaklumkan oleh para pelelong bahawa nilai cincin tersebut berkemungkinan boleh mencecah di antara RM105,568 sehingga RM367,375.
“Ia adalah satu penemuan yang sangat berharga sepanjang hidup. Saya benar-benar tidak menjangkakannya dan ia mungkin boleh mengubah hidup saya”.
Menurut Mark, dia yang selama ini duduk di rumah sewa berharap untuk membeli sebuah rumah dan berpindah ke tempat lain yang lebih selesa.
Dot Boughton, pegawai perhubungan daerah mengesahkan bahawa cincin tersebut telah dibawa ke Muzium British bagi menjalani ujian dan kes ini telah dirujuk ke pihak atasan supaya ianya boleh diklasifikasikan sebagai khazanah negara.
Cincin tersebut yang turut dihiasi dengan ukiran seorang bayi Kristian pada satu bahagian dan seorang wanita Kristian pada bahagian lain dipercayai berasal daripada abad ke-14 (tahun 1301 hingga 1400).
Setelah cincin ini dinilai oleh pakar dan disahkan sebagai khazanah, ianya akan ditawarkan kepada pihak muzium untuk membelinya. Sebagai individu yang bertanggungjawab menemui cincin berkenaan, Mark akan menerima ganjarannya.
Selain Mark, seorang lagi pemburu harta karun amatur di utara Yorkshire bernama Lee Rossiter telah menemui sebentuk cincin Tudor yang sangat bernilai. Atas penemuan tersebut, lelaki berkenaan menerima ganjaran wang tunai dalam nilai lima angka!
Cincin berkenaan dikatakan berasal dari abad ke-15 dan mengandungi 80% emas tulen serta dihiasi batu zamrud dan batu delima. Ianya ditemui dengan alat pengesan logam murah yang dibeli daripada laman eBay.
Sememangnya bagai ‘bulan jatuh ke riba’.
Source: Era Baru