Baru-baru ini tular gambar pasangan pengantin yang bersanding di Indonesia. Bukanlah sesuatu yang pelik jika orang berkahwin, namun ada sesuatu pada pengantin lelaki menarik perhatian orang ramai.
Ini kerana pengantin lelaki bersanding dengan hanya mengenakan seluar pendek dan tidak berbaju, manakala penganti perempuan pula cantik lengkap berhias.
Bukan itu sahaja, ia turut memperlihatkan pengantin lelaki tersebut mengenakan anduh pada sebelah tangannya, selain kelihatan beberapa balutan pada bahagian lengan dan kaki.
Sementara itu pengantin perempuan pula lengkap mengenakan persalinan tradisional masyarakat Jawa.
Foto pasangan pengantin tersebut yang dimuat naik menerusi akaun Twitter @br0wski yang menjadi viral sekaligus mengundang tanda tanya ramai, apa sebenarnya yang dialami pengantin lelaki tersebut.
Menurut laporan Kompas.com, pengantin lelaki itu terlibat dalam kemalangan empat hari sebelum majlis perkahwinannya.
“Suami saya Suprapto terlibat dalam kemalangan ketika dia keluar membeli petrol. Dia tiba-tiba hilang kawalan lalu dia jatuh dari motosikal,” jelas pengantin perempuan, Elinda Dwi Kristiani.
Menurutnya lagi, suaminya tidak dapat mengenakan persalinan perkahwinan kerana baharu menjalani pembedahan bahu.
Begitulah rupanya kisah tular pengantin ini, apa-apa pun kita ucapkan selamat pengantin baru dan semoga berbahagia ke anak cucu buat pasangan pengantin ini.
Kredit: mStar