Seorang penjawat awam telah ditahan kerana mengintai seorang wanita di dalam tandas di sebuah stesen minyak di Jalan Cinta Sayang, Sungai Petani, Kedah.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah memaklumkan, suspek berusia 36 tahun itu ditahan pada jam 5.20 petang Khamis ketika hadir ke balai polis untuk membuat laporan penafian berhubung aduan yang dibuat mangsa.
Bagaimanapun katanya, keterangan yang diberikan suspek agak meragukan dan dia ditahan untuk membantu siasatan.
Katanya, hasil soal siasat mendapati, suspek tidak mengaku melakukan perbuatan berkenaan seperti yang didakwa pengadu.
Malah, suspek mendakwa dia masuk ke tandas wanita kerana sakit perut disebabkan kononnya tandas lelaki berkunci, namun perlakuan suspek berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di hadapan tandas.
Siasatan juga mendapati, suspek tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini dan ujian saringan awal air kencing terhadapnya mendapati dia bebas dari pengaruh dadah.
Adzli berkata, dalam kejadian jam 10.30 malam Rabu, mangsa berusia 34 tahun itu mendakwa terlihat tapak tangan dan mata suspek di bawah ruang pintu tandas.
Terkejut dengan kejadian itu, mangsa bergegas keluar dan bertanyakan kepada anaknya yang berada di dalam kereta, yang kemudian memberitahu telah melihat seseorang memasuki tandas tersebut.
Adzli berkata, mangsa kemudian memaklumkan kepada pekerja stesen minyak berkenaan sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Petani.
Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kesalahan Kecil.
Sumber: Astro Awani