Seorang pengguna facebook di Thailand yang menggunakan akaun Nongying Chuaibamrung menceritakan detik pertemuannya dengan seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu teksi.
Berlaku di sebuah bandar di di utara Bangkok, Nongying telah mendapatkan khidmat seorang pemandu teksi yang dikenali sebagai Sumeth Singpun, 49 untuk membawanya ke sesuatu tempat.
Namun ketika bersemuka dengan Sumeth Singpun, Nongying tergaman apabila melihat keadaannya yang dilihat agak luar biasa. Rupanya, pemandu teksi itu bekerja keras demi menyara hidupnya meskipun berhadapan dengan pelbagai jenis masalah kesihatan.
Demi mencari rezeki, Sumeth Singpun terpaksa menyewa teksi dan menjadi pemandu namun dia terpaksa mengusung tangki oksigen yang diikat pada kusyen. Dia juga dipercayai duduk seorang diri selepas ditinggalkan oleh anaknya.
“Dia tinggal di Ayutthaya, seorang sendiri. Dia perlu membayar sewa. Tak kerja, tiada wang. Wang untuk orang kelainan upaya juga tidak cukup untuk rawatan. Jadi perlu menyewa teksi untuk memandu. Ada seorang anak lelaki, tak pernah pulang untuk menjaganya,” komen Nongying Chuaibamrung.
Antara penyakit yang dihidapi oleh Sumeth adalah masalah buah pinggang dan perlu menjalani dialisis secara berjadual. Menurut Nongying, Sumeth membawa teksi dengan kelajuan sekitar 40 km/j demi keselamatan kerana mempunyai masalah penglihatan yang kurang baik.
Nongying kemudian menawarkan dirinya untuk menguruskan bantuan yang mahu disalurkan kepada Sumeth. Dia juga sempat memberikan sedikit sagu hati kepada Sumeth selepas sampai di destinasi.