SUNGAI PETANI: Polis mengesahkan menerima laporan seorang remaja lelaki yang mendakwa disumbat di dalam but kenderaan polis semasa ditahan kerana dikatakan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata remaja berusia 19 tahun itu ditahan di padang permainan di sebuah kawasan perumahan di Sungai Petani pada 12.20 tengah malam, 18 April lalu.
“Siasatan awal mendapati remaja terbabit ditahan bersama seorang rakannya yang berusia 23 tahun kerana berada di luar kawasan rumah atas alasan mencari ‘line’ telefon.
“Remaja terbabit ditahan lokap selama satu malam sebelum dibebaskan keesokannya,” katanya dalam kenyataan hari ini
Terdahulu, satu hantaran dimuat naik di laman sosial Facebook Eliminating Deaths And Abuse In Custody Together-EDICT berhubung kejadian itu.
Hantaran itu mendakwa remaja terbabit dimasukkan ke dalam but sebuah kereta peronda polis bersama seorang lagi yang ditahan oleh lima anggota polis sebelum dibawa ke balai polis terdekat.
Sewaktu ditahan, remaja itu juga dikatakan tidak dibenarkan menggunakan tongkat seperti dinasihatkan doktor berikutan baru sahaja menjalani pembedahan di bahagian kaki kiri dan dimasukkan besi.
Remaja terbabit dikatakan terpaksa berjalan sendiri dalam kesakitan dan kesukaran.
Dia dibebaskan dengan jaminan polis (jaminan berkelakuan baik) dengan syarat perlu hadir ke mahkamah pada 29 April ini untuk menghadapi pertuduhan.
Satu laporan polis dibuat remaja terbabit semalam di balai Sungai Petani berhubung kejadian itu.
Adzli berkata, susulan itu, pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kes berkenaan secara telus.
“Siasatan ke atas remaja berkenaan masih berjalan dan dia belum didakwa lagi,” katanya.
Sumber: Berita Harian