Dalam setiap bangunan atau binaan yang mahu dibangunkan atau didirikan, pihak yang bertanggungjawab hendaklah membuat perancangan yang teliti dan tidak mengambil mudah mana-mana aspek. Ini kerana, satu kesilapan kecil kemungkinan bakal menyebabkan kerugian pada masa akan datang.
Rugi RM83 Juta Untuk Pindahkan Patung Gergasi Gara-gara Pembinaan Haram Dan Tidak Disukai Penduduk Tempatan
Satu binaan arca gergasi yang kelihatan hebat dan gagah di negara China telah menyebabkan kerugian lebih kurang RM83 Juta kepada kerajaan China. Patung gergasi itu menelan kos sebanyak lebih kurang RM107 Juta untuk pembinaannya dan kos pemindahannya pula mencecah RM83 Juta!
Meskipun patung gergasi Jeneral Perang China, Guan Yu itu kelihatan hebat tetapi sebenarnya patung itu dibenci oleh penduduk tempatan yang tidak bersetuju dengan pembinaannya di tempat mereka.
Penduduk tidak berpuas hati kerana mendakwa patung itu dibina secara haram kerana melebihi had ketinggian yang dibenarkan di kawasan tersebut, malah mereka juga mengatakannya kelihatan hodoh.
Had ketinggian bangunan di kawasan tersebut adalah maksimum 24 meter manakala ketinggian patung Jeneral Guan Yu pula 58 meter.
Kementerian Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Jingzhaou turut menyifatkan patung gergasi itu sebagai salah satu tindakan yang mencemarkan penampilan dan budaya bersejarah Jingzhaou.
Jeneral Guan Yu merupakan seorang pahlawan yang hebat dan dikagumi semasa dinasti Han berkuasa iaitu sekitar tahun 202 sebelum Tahun Masihi sehingga 220 Selepas Tahun Masihi. Patung Jeneral Guan Yu itu diarahkan untuk dipindah ke kawasan berjarak 8km dari tempat asal.