Seorang wanita dipercayai dalam perjalanan dari Taiping ke Ipoh menaiki tren ETS telah dikecam oleh warganet apabila dia dilihat tidak memakai pelitup muka sewaktu berada dalam tren tersebut.
Menerusi sebuah posting dikongsi seorang individu Claudia Lee di group Facebook baru-baru ini, difahamkan wanita tersebut masih degil walaupun beberapa kali diminta memakai pelitup muka.
Memetik laporan World of Buzz, pada mulanya penumpang yang duduk bertentangan telah perasan wanita itu tidak memakai pelitup muka, sambil memerhatikan gelagatnya selama 10 hingga 20 minit sebelum meminta memakai pelitup muka.
Malah, dia turut menghulurkan pelitup mukanya kepada wanita berkenaan. Bagaimanapun, wanita itu memberitahu dia memiliki pelitup mukanya sendiri cuma dia tidak mahu memakainya.
Sejurus itu, rakan kepada individu tersebut mengadu kepada kakitangan ETS dan sebuah pengumuman dibuat untuk mengingatkan setiap penumpang supaya memakai pelitup muka.
Meskipun begitu bagai mencurahkan air ke daun keladi, wanita terbabit tidak mengendahkan pengumuman tersebut.
Sehingga kapten ETS terpaksa ke tempat duduk wanita itu dan menyuruhnya memakai pelitup muka, namun dia hanya berseloroh mengatakan ‘sudah memakainya selama empat jam’.
Menurut individu yang melaporkan kejadian tersebut, wanita itu turut memberitahu kapten berkenaan bahawa ‘saya adalah pelanggan, awak tidak boleh jerit pada saya,’ walhal, kapten yang berurusan dengannya tidak meninggikan suara.
Bagaimanapun sebaik sedar perbuatannya dirakam, dia memarahi perakam dengan mengeluarkan kata-kata kesat seperti ‘tidak ada otak’ dan ‘jangan bersikap seperti bullsh*t’.
Justeru dengan peningkatan kes Covid-19 ini, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang bertungkus-lumus membendung penularan virus tersebut daripada menjadi lebih teruk apatah lagi bilangan kes sudah mencecah empat angka.
Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mementingkan diri dan perlu bekerjasama dengan cara mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
Sumber: World Of Buzz, OMM