Pasangan suami isteri berkongsikan berita gembira apabila mereka dikurniakan seorang anak selepas menunggu selama 5 tahun. Mohd Shafique Al Hafiz Zulkifli dan isteri, Najwa Izni Aidi bersyukur dengan kelahiran anak mereka pada November tahun lalu dan menyifatkannya sebagai pelengkap hidup mereka.
Menceritakan kisah ketika isterinya disahkan hamil, Shafique memberitahu dirinya seakan tidak percaya apabila mendapat berita kehamilan isterinya kerana sekian lama mereka hidup tanpa cahaya mata atau lebih tepat lagi selama 5 tahun. Shafique siap meminta isterinya buat test sekali lagi dan hinggalah perut isterinya makin membesar dan baby pun lahir.
“Anak kami diberi nama Siti Aisyah Nafisah. Dia merupakan anak sulung selepas lima tahun saya dan isteri berkahwin.
“Sewaktu belum dikurniakan anak, saya dan isteri selalu tolong jaga anak saudara kami. Pada masa sama, kami tak fikir sangat mengenai anak sendiri.
“Kami reda saja. Memanglah ada terfikir, siapa tak nak anak kalau dah lama kahwin? Tapi sepanjang tempoh itu kami tak merungut, hanya bersabar.
Pasangan suami isteri ini juga mengatakan mereka sangat seronok menjalani rutin seharian sebagai ibu bapa dan mereka sering berkongsi video bayi mereka yang diberi gelaran ‘si pipi labuh’ itu menerusi aplikasi TikTok yang sehingga kini mencecah lebih 50,000 follower.
Shafique dan isteriya juga tidak menyangka video anak mereka menarik perhatian ramai orang memandangkan mereka bukanlah selebriti. Pipi anaknya seringkali menjadi tumpuan orang yang bertemu dengan mereka.
“Kami suka-suka kongsi video, kemudian ada video anak kami dapat hampir sejuta tontonan. Saya terkejut, sebabnya kami bukan selebriti… kami biasa-biasa saja.
“Tapi saya bersyukur dengan komen yang baik-baik yang ditulis. Kami buat video pada asalnya pun untuk update keluarga saja,” ujarnya lagi.
“Dia jenis ceria. Sejak kecil lagi dia pandai gelak kuat-kuat. Kalau tidur pun, dia akan tidur dan bangun bersama kami, tiada masalah tengah malam.“Kalau keluar, ramai yang tegur pipi dulu. Ramai yang tertumpu ke arah pipinya. Kalau orang lain geram tengok dia, kami pun geram sebenarnya.
“Kami juga rakam video secara spontan saja. Kalau nampak ada momen menarik, kami akan rakam,” tambahnya lagi.
Dedah Shafique, dia mengakui banyak perubahan yang berlaku dalam hidupnya selepas dikurniakan cahaya mata.
Kehadiran ‘si pipi labuh’ menjadi pelengkap dalam kehidupan mereka berdua.
Malah katanya, fokusnya kini lebih terarah kepada anak dan tiada apa yang dimahukan selain kehidupan yang selesa untuk keluarga.
“Setiap masa fokus kepada anak. Buat apa pun akan ingat kepada anak.
“Kalau macam Instagram, dulu update diri sendiri… sekarang banyak kongsi mengenai anak saja.
Ramai yang geram melihat pipi si comel ini.
VIDEO:
Mohd Shafique dan isterinya menjaga sendiri anak mereka dan akan membawanya keluar jika perlu dan itu salah satu sebab agak banyak video baby mereka yang dirakam.
Kredit: mStar