Tiada sesiapa pun yang mahu meminjam duit daripada daripada sesiapapun jika mereka mempunyai status kewangan yang stabil dan mencukupi. Namun hakikatnya, dari hari ke hari semakin ramai orang yang tertekan kerana berdepan dengan masalah kewangan dan memaksa mereka meminjam duit daripada sesiapa sahaja demi kelangsungan hidup, meskipun sedar bahawa mereka akan terpaksa menanggung hutang yang tinggi dikemudian hari.
Seorang wanita di wilayah Lamphun, Thailand terpaksa menanggung akibat kerana gagal membayar hutangnya kepada peminjam wang.
Wanita yang dikenali sebagai Duangduen itu telah ditampar dengan kulit durian berduri di wajahnya sehingga menyebabkan mukanya berlumuran darah.
Insiden tersebut berlaku ketika wanita Duangduen sedang meletakkan motosikalnya, sebelum tiba-tbia sahaja seorang wanita lain yang dikatakan pengutip hutangnya telah bertindak menampar mukanya dengan kulit durian.
Menurut laporan thethaiger, Wanita itu kemudian terus melarikan diri dari tempat tersebut dengan menaiki kenderaan awam dan meninggalkan Duangduen yang cedera di wajahnya.
Duangduen kemudian memanggil media tempatan untuk bantuan selepas tiada perkembangan mengenai aduan yang dibuatnya di Pejabat Polis Mueng Lamphun selepas kejadian tersebut.
Duangduen bagaimanapun mengaku bahawa dia telah meminjam duit sebanyak 20,000 baht atau lebih kurang RM2,450 pada tahun lepas bagi tujuan membuka kedai bersama dengan rakannya.
Namun begitu, disebabkan masalah kewangan dia gagal membayar pinjaman terbabit malah faedah pembayarannya telah bertambah sehingga menjadi 700,000 baht atau RM85,762! Rakan Duangduen pula telah melarikan diri kerana ketakutan dan meninggalkannya sendirian untuk berdepan dengan masalah tersebut.
Duangduen kemudian meminta bantuan pihak kerajaan yang berkaitan dengan pengurusan hutang untuk pertolongan.
Pihak peminjam wang kemudian dilaporkan bersetuju untuk hentikan pembayaran buat sementara, namun kemudian mereka muncul semula di rumahnya untuk menagih hutang.
Dikatakan sehingga kini Duanduen masih lagi diancam oleh pihak penagih hutang.