Harare: Bertuahnya lelaki Zimbabwe ini pada usianya 66 tahun, hidupnya bahagia di samping 16 isteri serta 151 anak.
Misheck Nyandoro, menikmati kehidupan sempurna dengan anak-anak menyara hidupnya, manakala isterinya sepakat dalam mengurus rumah tangga dan memenuhi setiap keinginannya.
Bahkan, Nyandoro merancang untuk berkahwin kali ke-17 bagi mencapai misi yang digelarnya ‘projek poligami’.
Jika boleh Nyandoro mahu memiliki 100 isteri dan 1,000 anak.
Pesara tentera itu berkata, pekerjaan tetapnya hanya membahagiakan semua isterinya yang mula dikahwini secara berperingkat sejak 1983.
“Saya kini sedang merancang perkahwinan ke-17 pada musim sejuk nanti.
“Saya hanya mahu memenuhi misi, projek poligami yang saya mulakan sejak 1983 dan saya berniat tidak mahu berhenti selagi masih bernyawa,” katanya dalam portal Daily Mirror.
Katanya, dia tidak pernah terbeban langsung dengan isu kewangan walaupun memiliki anak ramai, malah keluarga besar itu membuatkan rezekinya semakin mencurah-curah.
“Anak-anak termasuk anak tiri sentiasa memanjakan saya. Mereka memberi saya hadiah dan wang,” katanya.
Media tempatan melaporkan, pendapatan utama keluarga Nyandoro ialan bertani di ladang seluas 93 hektar di pergunungan Mvurwi.
Enam anaknya ialah anggota tentera, dua polis dan 11 lagi bekerjaya dalam pelbagai profesion manakala 13 anak perempuannya sudah berkahwin.