Seorang kanak-kanak berusia 3 tahun dibawa bapanya ke hospital kerana ada masalah jangkitan paru-paru. Selepas berulang-alik ke beberapa hospital, anaknya kemudian beransur sembuh dan kelihatan stabil.
Walaubagaimanapun, kemudiannya anaknya dikatakan mengalami demam dan berita itu membuatkan si bapa bimbang kerana takut keadaan anak jadi buruk dan boleh membahayakan kesihatannya. Namun, selepas 20 hari, anaknya masih lagi dikatakan dalam kondisi demam dan si bapa merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
Si bapa yang dikenali sebagai Jiang, mula curiga apabila bacaan suhu anaknya kekal tinggi selepas 20 hari, sedangkan imbasan tomografi (CT) dan ujian darah menunjukkan bahawa segala-galanya adalah normal.
Anaknya juga kelihatan ceria dan bersemangat walaupun suhu badannya tinggi. Tambahan pula, segala rawatan dan ubat yang diberikan tidak memberi kesan kepada suhu anaknya..Selain itu, jururawat kadang kala akan menggunakan termometer digital pada dahi atau telinga, di mana bacaan suhu badan anaknya adalah normal.
Walau bagaimanapun, jururawat tidak mempedulikan ketidakseragaman bacaan suhu anaknya dan terus melaporkan bahawa budak itu demam berdasarkan bacaan suhu rektal dari satu termometer merkuri.
Si bapa akhirnya meminta termometer baru digunakan dan terbukti termometer yang digunakan selama ini tidak betul dan bacaannya salah! Si bapa bengang dan marah kerana disebabkan itu dia terpaksa menghabiskan banyak duit dan anaknya juga terpaksa diberikan ubat yang tidak perlu.
Namun begitu, pihak hospital enggan mengaku kesalahan diagnosis dan tetap berkeras bahawa bacaan suhu berubah-ubah. Mereka juga enggan bekerjasama apabila bapa itu meminta rekod bacaan suhu badan anaknya.
Jabatan kesihatan menjalankan siasatan dan terbukti termometer yang digunakan sememangnya tidak menunjukkan bacaan yang tepat. Akhirnya, pihak hospital terpaksa memberikan pampasan kepada si bapa atas kesalahan mereka.
Sumber: Asia One