SUNGAI PETANI: Lima remaja perempuan ditahan ketika cuba memecah masuk sebuah stesen minyak di Rantau Panjang, Tikam Batu di sini semalam.
Remaja perempuan tersebut yang berumur antara 15 hingga 17 tahun ditahan oleh pemilik stesen minyak tersebut pada pukul 2.30 pagi.
Mereka sanggup bertindak cuba memecah masuk premis itu apabila terdesak untuk menjelaskan bayaran kereta yang disewa.
Pemilik stesen minyak itu, Azzurin Hassan, 32, berkata, dia mengesan perbuatan remaja perempuan itu yang sedang menggumpil pintu selepas melihat kamera litar tertutup (CCTV) sebelum menahan mereka.
Katanya, dia yang tinggal berdekatan stesen minyak itu terkejut melihat tiga remaja perempuan sedang cuba memecah masuk melalui pintu belakang premis tersebut.
“Saya dan beberapa orang jiran kemudian mengepung kawasan stesen minyak itu sebelum menahan dua remaja manakala seorang sempat melarikan diri bersama dua lagi rakannya yang menunggu di dalam kereta,” katanya di sini hari ini.
Remaja terbabit berasal dari sekitar daerah ini, Baling dan Sik.
Menurut Azzurin, remaja yang ditahan itu mengaku mereka telah merancang memecah masuk premis perniagaannya untuk mencuri menggunakan sebilah gergaji kayu dan sebatang besi.
“Tujuan mereka berbuat demikian adalah untuk mendapatkan wang bagi menjelaskan bayaran kereta jenis Perodua Viva yang disewa melebihi tempoh sejak beberapa hari lalu.
“Remaja yang ditahan itu dibawa ke Balai Polis Tikam Batu dan selepas dihubungi tiga lagi rakan mereka datang menyerah diri di balai itu,” katanya.
Menurutnya, hasil temu bual dengan kesemua remaja itu tidak bersekolah dan tidak lagi tinggal bersama keluarga masing-masing kerana ingin hidup bebas.
Bagaimanapun, tambahnya, dia tidak membuat laporan polis tentang kejadian itu kerana tidak mengalami kerugian sebaliknya sekadar memberi nasihat sebelum melepaskan mereka.
Kredit: Utusan Online