Perbuatan seorang lelaki yang kerap memuat naik status berhubungan dengan isteri orang di laman sosial akhirnya mengundang padah apabila dia dicekup berkhalwat dengan wanita itu di Taman Selasih, di sini, semalam.
Lelaki berusia 26 tahun yang masih bujang itu ditahan berkhalwat dengan wanita berusia 41 tahun yang sudah mempunyai tiga anak itu pada jam 3.40 petang oleh anggota Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) bersama jemaah masjid di kawasan itu.
Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad berkata, ketika serbuan dilakukan, wanita itu ditemui bersembunyi dalam almari.
Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati mereka bukan pasangan suami isteri atau mahram menyebabkan mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat.
“Kami menerima banyak aduan berhubung perbuatan lelaki itu yang sering memuat naik status di media sosial setiap kali menjalinkan hubungan dengan isteri orang.
“Dia memang suka berhubungan dengan isteri orang dan kita menerima aduan awam mengenai kegiatan lelaki itu sebelum menahannya semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Anwar Sharifuddin berkata, lelaki itu kerap membawa masuk wanita ke rumahnya ketika orang lain sibuk menunaikan solat Jumaat dan sebelum ini dia sering terlepas.
Katanya, lelaki itu berasal dari Tanah Merah, Kelantan manakala wanita itu berasal dari Pendang, di sini.
Beliau berkata, lelaki itu bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di Kulim manakala wanita itu mengakui mengenali lelaki itu melalui Facebook (FB).
Katanya, pasangan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk dibuat laporan tangkapan sebelum diambil keterangan.
“Mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan dan kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sumber: Harian Metro