Seorang wanita berkongsikan kisah kucing-kucing peliharaannya yang berdepan dengan haiwan bebahaya yang menceroboh masuk ke dalam rumah mereka.
Menerusi perkongsian di facebook, wanita yang dikenali sebagai Lyn Azlina mendedahkan tentang kucing-kucing peliharaannya yang diberi nama Dobot, Joy, Kochi, Marble dan Tart membantu mengepung ular tedung yang memasuki rumah.
Meskipun kucing-kucing peliharaannya amat nakal hingga pernah menyebabkan pasu pecah dan langsir terkoyak, namun wanita ini berasa makin kagum dengan kucing-kucingnya selepas kejadian tersebut.
Ketika kejadian wanita ini dan suaminya baru pulang dari pasar. Namun begitu tidak seperti kebiasaan, kucing-kucing mereka tidak menunggu di depan pintu seperti hari-hari sebelumnya. Suaminya kemudian terdengar sesuatu yang pelik dan meminta wanita ini tengokkan sebab penglihatannya kurang jelas ketika itu.
Dan ketika itulah, suami isteri ini sedar ada ular tedung menceroboh masuk ke rumah sambil dikepung oleh kucing-kucing mereka, dan panggilan kecemasan pun segera dilakukan.
“Masa di dapur, suami panggil saya sebab dengar sesuatu yang pelik kerana penglihatan suami saya tak berapa jelas sebab baru sahaja menjalani pembedahan mata. Jadi, dia minta saya tengokkan.
“Saya terus hubungi 999 sambil itu saya bercakap dengan anak-anak (kucingnya) jangan bunuh ular tu. Dan senjata paling kuat pada masa itu adalah doa Nabi Sulaiman,” ujar wanita ini.
Pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tiba ke rumah mereka lebih kurang 10 minit kemudian dan dalam masa itu, ular tedung itu dikepung oleh kelima-lima kucing peliharaan mereka yang memastikan ular itu tidak berlingkar ke tempat lain. Menurut wanita ini lagi, ular itu dipercayai masuk ke dalam rumah melalui lubang kecil di tingkap.
“Saya berharap kepada mereka yang memelihara kucing, peliharalah ia dengan penuh kasih sayang kerana binatang kesayangan Rasulullah ini pembawa rahmat.
“Manalah tahu antara tangan-tangan dan doa untuk kita ke syurga itu mungkin dari kucing-kucing ini. Kalau tidak mampu menjaga, janganlah menyakiti mereka,” tambah wanita ini lagi.
Sumber: Lyn Azlina