Pengarah Filem, Kamal Ishak Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Pengarah filem Cinta Kita, Kamal Ishak, 66, menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.02 pagi di kediamannya di Kulim, Kedah.nangtime.com - Pengarah Filem, Kamal Ishak Meninggal Dunia

Berita pemergiannya disahkan anak bongsunya, Muhammad Aliff Iman Kamal, 22.

Muhammad Aliff berkata, bapanya tidak mempunyai penyakit kronik lain, selain masalah saraf.

Katanya, keadaan kesihatan bapanya merosot lebih sebulan lalu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Sejak itu, pengarah filem Penyair Malam itu lebih banyak terlantar di katil.

“Ayah sudah lama uzur, tetapi keadaannya bertambah teruk, sejak sebulan lalu. Sebelum ini, arwah masih boleh berjalan, tetapi tidaklah terlalu gagah. Dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, arwah boleh dikatakan aktif.

“Hari demi hari kesihatan arwah semakin merosot sejak tempoh PKP. Ayah langsung tak boleh menjamah makanan dan akan termuntah apabila disuap makan. Bagaimanapun, selera ayah agak baik, sejak beberapa minggu ini.

“Saya tak menyangka ayah akan pergi secepat ini memandangkan dua jam sebelum menutup mata, ayah masih boleh bangun dan berjalan ke tandas,” katanya kepada BH Online.

nangtime.com - Pengarah Filem, Kamal Ishak Meninggal Dunia

Muhammad Aliff berkata, dia bersyukur ayahnya dijemput Ilahi pada bulan puasa. Arwah menghembuskan nafas terakhir di hadapan ibu dan anak-anak.

“Arwah dijangka dikebumikan, jam 11 pagi di Tanah Perkuburan Masjid Taman Haruan, Kulim, Kedah.

“Kemungkinan pengebumian arwah akan lambat sedikit bagi menunggu anak-anak dari Kuala Lumpur untuk menatap jenazah buat kali terakhir,” katanya.

Pengarah yang berasal dari George Town, Pulau Pinang itu meninggalkan balu, Wan Noor Wan Chik, 62, dan sembilan cahaya mata. Tujuh daripadanya menerusi perkahwinan pertama, manakala dua lagi bersama Wan Noor.

Selain bergelar pengarah filem, Kamal aktif mengarah drama dan menulis skrip. Antara skrip yang pernah dihasilkan ialah Nur-Ar-Rahman, Pak Gad, Tunggu Sekejap, Budak Kampong dan banyak lain.

Allahyarham juga turut aktif menulis puisi dan mengarah dokumentari. Kamal antara orang yang bertanggungjawab dalam penubuhan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) bersama Dr Mahadi J Murat, Datin Paduka Shuhaimi Baba, Anwardi Jamil, Nurhalim Ismail, Othman Zainuddin dan M Yusof Mohamad. – Berita Harian

Facebook Comments Box