Tidak dapat dinafikan rumah sewa merupakan satu keperluan bagi hampir setiap orang, terutamanya bagi mereka yang tidak memiliki rumah sendiri dan jauh dari kampung halaman. Apabila kita menyewa rumah, biasanya kita akan seboleh-bolehnya menjadikan suasana rumah itu menjadi selesa untuk didiami bagi menjalani kehidupan yang selesa.
Namun demikian, terdapat segelintir penyewa yang bersikap tidak ambil peduli dan tidak menjaga kebersihan sehingga keadaan dalam rumah menjadi sangat kotor dan teruk. Itulah yang berlaku kepada rumah uyang dimiliki oleh seorang wanita yang dikenali sebagai Kamarina Komeng di perumahan flat di Pasir Gudang, Johor.
Dalam video yang ditularkannya, kelihatan keadaan dalam rumah itu yang sangat teruk dan kotor sehingga tidak dapat difikirkan macam mana ada orang boleh tinggal dalam keadaan seperti itu.
“Tak tahu macam mana dia boleh hidup dengan keadaan macam ni,” – ujarnya
Menurut pemilik rumah yang merupakan seorang guru, dia menyewakan rumah tersebut kepada pasangan suami isteri sejak pertengahan tahun lalu dengan bayaran sebanyak RM500 sebulan.
“Suami isteri ni asalnya menyewa bilik di tempat lain tetapi bercampur penghuni lelaki lain di dalam rumah. Mereka kemudian minta tolong nak sewa rumah saya.
“Mereka baru berkahwin, si isteri tidak bekerja ketika itu. Jadi saya kasihan mereka dan beri peluang untuk menyewa,” katanya.
Namun, sejak itu, pasangan suami isteri itu selalu lambat bayar membayar duit sewa bulanan dan selalu ada tunggakan dan akhirnya Kamarina datang ke rumah tersebut untuk buat spot check.
Ketika dia datang, kedua-dua penyewanya tiada di rumah. Dia bagaimanapun masuk ke rumah menggunakan kunci spare dan hanya mampu mengucap sebaik sahaja melangkah masuk dan melihat keadaan dalam yang sangat teruk.
“Saya hanya mampu berdiri, nak jalan pun susah. Memang tak boleh duduk langsung sebab banyak sangat sampah. Tilam dicucuk dengan rokok.
“Ada makanan yang berulat. Bukan setakat di ruang tamu dan dapur, di dalam bilik tidur pun ada. Baunya tak boleh nak bayangkan, itu belum lagi dengan lipas sana sini”
Di tandas pula ada seluar dalam lelaki yang dibiarkan atas lantai.
Menurut jiran-jiran, pasangan suami isteri tersebut juga masih sering kelihatan keluar masuk ke dalam rumah dan itu membuktikan bahawa mereka sememangnya masih lagi tinggal di situ. Apa yang sukar dibayangkan adalah macam mana mereka tidur dan tinggal dalam keadaan sedemikian.
Kamarina kemudian menghubungi pasangan tersebut dan pura-pura tak tahu yang rumah tu kotor. Dia kemudian memberitahu mereka sekiranya mereka masih tak boleh bayar sewa, dia meminta mereka untuk keluar rumah dengan cara baik.
“Mereka bersetuju untuk keluar dari rumah dan beberapa hari kemudian rumah ditinggalkan dalam keadaan yang telah dikemaskan, cuma kotor sikit-sikit tidak seteruk hari tu,” katanya.
Difahamkan rumah tersebut disewa kepada pasangan tersebut yang bekerja sebagai kontraktor atas dasar kesian dan tiada sebarang perjanjian dokumen yang dibuat.
“Saya tak serik untuk menyewakannya lagi, sebelum ni pun ada saja penyewa yang pengotor tapi ini yang paling teruk. Takut pula ada benda-benda pelik kat rumah tu.
“Cuma saya terkejut sebab mereka lemah lembut. Suaminya handsome, isteri cantik dan mereka sentiasa berpakaian kemas. Mungkin sikap pengotor mereka tak dapat dijangka,” tambah wanita ini lagi.
Sumber: mStar