LEVASHI, Rusia – Sekumpulan doktor menarik keluar seekor ular sepanjang 1.2 meter dari dalam kerongkong seorang wanita di Rusia, lapor Daily Mail sebentar tadi.
Menurut laporan, ular itu masuk ke dalam mulut wanita berkenaan semasa dia sedang tidur di laman kediamannya di perkampungan Levashi di Dagestan, Rusia.
Wanita yang mula menunjukkan tanda tidak sihat itu segera dibawa ke hospital dan doktor memberikannya ubat bisu.
Satu klip video menunjukkan doktor lelaki menggunakan tangannya untuk menarik keluar ular itu dari dalam kerongkong pesakit, selepas menggunakan satu tiub hitam untuk membantu proses mengeluarkan reptilia itu.
Beberapa pegawai perubatan yang berada di wad itu terkejut dan menjerit sebaik sahaja melihat saiz sebenar ular berkenaan yang keluar dari badan pesakit.
Ular itu ditempatkan di dalam satu baldi perubatan. Bagaimanapun, tiada maklumat dikongsi sama ada ular itu masih hidup atau berapa lama ia berada di dalam badan pesakit.
Kementerian Kesihatan di Dagestan belum mengeluarkan kenyataan mengenai kejadian itu.
Dagestan terletak dekat satu kawasan pergunungan yang bersempadan dengan Laut Caspian. Identiti pesakit wanita itu dan jenis ular berkenaan masih belum didedahkan setakat ini.
VIDEO:
Sumber: Kosmo