13 Etnik Rohingya Di Kulai Positif COVID-19

SEBANYAK 13 kes positif Covid-19 direkodkan susulan saringan yang dilakukan terhadap etnik Rohingya di Kulai.nangtime.com - 13 Etnik Rohingya Di Kulai Positif COVID-19

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyanathan berkata, terdapat laporan mengenai penularan wabak Covid-19 membabitkan etnik Rohingya di daerah Kulai iaitu di Lorong Kulai Besar yang tular di media sosial.

Katanya, sehingga 19 April lalu, sebanyak 659 iaitu 100 peratus saringan dilakukan terhadap etnik Rohingya di kawasan itu.

“Daripada jumlah itu, 13 kes positif direkodkan, 396 negatif dan 250 masih menunggu keputusan.

“Saringan turut dilakukan kepada penduduk-penduduk lain di kawasan itu. Kerajaan negeri memandang serius mengenai situasi ini dan sudah mengambil pelbagai langkah bagi memastikan penularan wabak Covid-19 di kawasan itu dapat dibendung.

“Ia termasuk melakukan kawalan keselamatan yang lebih ketat dilakukan di Lorong Kulai Besar, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah meletakkan kawalan statik 24 jam di lorong terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Vidyanathan berkata, operasi sanitasi awam di kawasan Lorong Kulai Besar sudah dilakukan sebanyak dua kali iaitu pada 2 April lalu dan sekali lagi pada hari semalam membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Jabatan Kesihatan, Majlis Perbandaran Kulai, Southern Waste Management, SWCorp dan PDRM.

“Namun begitu, usaha mengekang penularan wabak Covid-19 tidak akan berjaya tanpa kerjasama masyarakat.

nangtime.com - 13 Etnik Rohingya Di Kulai Positif COVID-19

“Selain daripada terus mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masyarakat di kawasan itu perlu mengamalkan penjagaan kebersihan diri, persekitaran tempat tinggal dan premis perniagaan masing-masing supaya dapat membendung penularan wabak Covid-19,” katanya.

Katanya, sehingga semalam Jabatan Kesihatan Negeri Johor melaporkan penambahan sebanyak dua kes baharu Covid-19 yang menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 644. – Harian Metro

Facebook Comments Box