New Delhi: Memilukan apabila seorang anak tergamak ‘membuang’ ibunya di tepi jalan selepas wanita itu disahkan positif Covid-19. Portal India Today melaporkan polis di Kanpur, Uttar Pradesh, menahan lelaki yang membuang ibunya itu.
Pihak berkuasa setempat yang mengetahui kejadian berdasarkan video yang tular sebelum mendapati seorang wanita terbaring di jalan.
Warga tempatan segera menyelamatkannya dan membawanya ke hospital. Namun, wanita malang itu meninggaI dunia ketika menerima rawatan.
Khabar memilukan itu terjadi ketika India dilanda gelombang kedua penularan Covid-19.
Beberapa hospital di India melaporkan kekurangan oksigen dan meminta bantuan kecemasan kerana varian baharu menyebabkan peningkatan kes harian Covid-19.
Sementara itu, beberapa negara termasuk United Kingdom (UK), Amerika Syarikat dan Perancis sudah dan akan menghantar bantuan kecemasan bagi membantu India.
Perancis dilaporkan akan menghantar lapan unit penjana oksigen perubatan, masing- masing dengan kapasiti membekalkan oksigen secara berterusan ke 250 katil.
Ia akan dipasang secara kekal dan mampu menghasilkan oksigen perubatan menggunakan udara biasa dan boleh digunakan selama 10 tahun.
Penyediaan peralatan untuk mengisi silinder oksigen juga akan disertakan.
Ia juga meliputi sekurang-kurangnya lima bekas oksigen cair, masing-masing dapat menampung sehingga 10,000 pesakit dalam sehari.
Selain itu, peralatan khusus 28 alat bantuan pernafasan dan 200 pam picagari elektrik.
Syarikat pelaburan Singapura Temasek Holdings pada Sabtu menghantar empat tangki silinder oksigen kriogenik ke India.
Dalam pada itu, satu laporan lain menyatakan bantuan perubatan dari UK iaitu 100 ventilator dan 95 pemekat oksigen sudah tiba di negara itu, pada awal pagi Selasa.
Kes harian Covid-19 di India terus merekodkan peningkatan dalam tempoh 10 hari lalu dengan 352,991 kes baharu dicatatkan pada Isnin.
Ia sekali gus jumlah kes harian tertinggi pada peringkat global sejak penularan pandemik berkenaan.
Setakat ini, India merekodkan 17.3 juta kes Covid-19 dengan lebih 195,000 kematian. – Harian Metro