Penuntut Jumpa Harta Karun Bernilai RM8.1 Juta Yang Jadi Rebutan Selepas Pemiliknya Memberikan Hint Sebelum Meninggal Dunia.
Seorang penuntut perubatan di Amerika Syarikat (AS) menjadi jutawan segera selepas menemui harta karun di Gunung Rocky bernilai AS$2 juta (RM8.1 juta).
Jack Stuef, 32, berasal dari Michigan itu menemui emas, batu permata dan artifak yang disembunyikan hartawan dan pengumpul barang antik, Forrest Fenn.
Lelaki itu menemui harta berkenaan di satu lokasi di Wyoming, 6 Jun lalu, selepas misi pencarian yang memakan masa dua tahun.
Fenn yang meninggal dunia pada September lalu ketika berusia 90 tahun, pernah menulis mengenai peti harta karun itu dalam memoir The Thrill Of The Chase yang diterbitkan pada 2010.
Beliau turut memberikan petunjuk ke lokasi itu menerusi 24 ayat puitis.
Laporan mengenai harta karun itu menyebabkan ribuan orang berusaha mencarinya dan dalam proses itu, dua individu disahkan meninggal dunia.
Dalam pada itu, cucu lelaki Fenn, Shiloh Forrest Old pada Isnin lalu mengumumkan Stuef adalah individu yang menemui harta karun tinggalan datuknya itu.
Bagaimanapun, individu itu berkata, pihaknya berbuat demikian berikutan perintah mahkamah susulan satu tuntutan oleh pihak lain terhadap Stuef.
“Tahniah kepada Jack (Stuef) kerana menemui dan mengambil peti harta karun itu,” katanya.
Sebelum ini, Stuef menerusi laman web Medium mengakui dia individu yang menemui peti harta karun berkenaan.
Ketika ditemu bual media, Stuef berkata, harta itu belum dijual dan kini disimpan di New Mexico.
“Saya berpindah ke pangsapuri dengan kawalan keselamatan lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, lelaki berkenaan berkata, dia mahu menjual harta berkenaan untuk melunaskan pinjaman pelajarannya.
Sumber: Harian Metro